MIRI, 30 Ogos: Majlis Bandaraya Miri (MBM) meletakkan terma dan syarat kepada peniaga di Karnival Makanan Miri untuk menjual produk mereka tanpa penggunaan plastik pakai buang dan styrofoam.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, inisiatif sebegini selaras dengan matlamat MBM untuk menjadikan bandaraya Miri sebagai bandar peranginan yang paling sesuai untuk didiami, pintar, hijau dan antarabangsa.
“Karnival makanan ini adalah salah satu inisiatif antara lain seperti Kuala Baram Cycling Race dan Miri Street Parade. Saya percaya Miri akan mempunyai lebih banyak lagi acara akan datang.
“Sehubungan itu, saya ingin memuji semua peserta sebagai peniaga makanan dalam karnival ini yang telah tampil menunjukkan produk mereka pada malam ini dengan mematuhi terma dan syarat oleh MBM iaitu tiada plastik pakai buang dan styrofoam,” katanya ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian merasmikan Karnival Makanan Miri di Dataran Kipas di sini, semalam.
Penguang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi juga melihat langkah ini selari dengan salah satu satu tonggak Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) iaitu kelestarian alam sekitar.
“Ini amat bertepatan kerana Premier Sarawak kita, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berkali-kali menyebut salah satu tonggak PCDS 2030 ialah kelestarian alam sekitar. Di sini, anda adalah perintis dan saya percaya anda telah melakukan ini banyak kali sebelum ini termasuklah Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang telah mempromosikan tiada penggunaan plastik di pasaraya. Ini adalah salah satu langkah untuk kita bergerak ke hadapan untuk melindungi alam sekitar yang sangat berharga,” ujarnya lagi.
Beliau menyeru kepada rakyat Miri untuk bukan sahaja tidak menggunakan plastik dan styrofoam semasa karnival ini, tetapi meneruskan amalan ini sehingga dapat dijadikan tabiat dalam kehidupan seharian.
Sebanyak 105 peniaga makanan dan minuman di Karnival Makanan Miri yang membawa kepelbagaian produk yang unik kepada para pengunjung dan persembahan yang menarik sepanjang 14 hari bermula pada 25 Ogos sehingga 7 September. – TVS