KOTA SAMARAHAN, 30 Ogos: Johan kategori qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan, Temah Abu Bakar sering kali menyertai pelbagai pertandingan tilawah al-Quran di seluruh Sarawak termasuk di Miri dan Sibu selama lebih 40 tahun.
Berkongsi pengalamannya dengan TVS malam tadi, Guru Taranum Quran Majlis Islam Sarawak sejak 2012 itu menyatakan dia pertama kali menyertai pertandingan itu ketika berusia 15 tahun sebelum mula serius berlatih mengawal pernafasan dan lontaran suara ketika berusia awal 20-an.
Sepanjang penglibatannya menyertai pertandingan itu, Temah pernah memenangi beberapa pertandingan tilawah peringkat bahagian dan negeri.
Pada waktu yang sama, dia turut berharap agar generasi muda masyarakat Islam di Sarawak menjadi pelapis kepada generasi terdahulu dan menjadi muka baharu qari dan qariah pelbagai program tilawah al-Quran di Sarawak.
“Saya menyertai pertandingan tilawah al-Quran ketika berusia lebih kurang 22 dan 23, sekarang usia saya sudah 63 tahun.
“Besarlah harapan saya sebagai Guru Quran untuk melihat anak-anak generasi muda memartabatkan al-Quran dalam kehidupan mereka dan menceburkan diri dalam program-program tilawah seperti ini,” katanya.
Temah berkata demikian ketika ditemuramah TVS di akhir penangguhan program Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan yang berlangsung di Masjid Al-Muttaqin di sini, malam tadi.
Selaku juara, Temah membawa pulang trofi dan wang tunai RM1,500 sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dan pakej menunaikan umrah sumbangan ZZ Cleaning Services.
Juara bagi kategori qari, Imam 1 Masjid Taman Desa Ilmu, Muhamad Hafiez Shafie, 30, pula berkata, dia akan terus berlatih pada hujung minggu untuk memperbaiki bacaan al-Quran dalam mempersiapkan diri bagi pertandingan tilawah pada masa akan datang.
“Quran ini tidak boleh ditinggalkan. Kalau boleh hari-harilah (berlatih) untuk melembutkan lagi sebutan makhraj kita, Insya-Allah saya akan berlatih dengan izin Allah s.w.t,” katanya.
Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Bahagian Samarahan telah diadakan pada 28 Ogos lalu dengan malam kemuncak dan penangguhannya diadakan malam tadi.
Antara yang hadir ADUN Muara Tuang Dato Idris Buang dan isteri Datin Nurhidayah Hussain, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Jabtan Agama Islam Bahagian Samarahan, Bahrin Kawi.-TVS