Ikuti dua artikel yang membongkar kewujudan buaya tanah di Sarawak. Bahagian satu memperincikan kisah buaya tanah di Ba’ Kelalan dan penulisan kedua menyingkap kisah sama di Serian oleh wartawan TVS, Adlina Rahman.
SERIAN, 30 Ogos: Pada pandangan mata kasar, Kampung Lebor di sini tidak banyak berbeza dengan kampung lain di pinggiran Kuching, Sarawak yang mendamaikan untuk dilawati.
Hanya pemburu kepala ‘layak’ hasilkan arca buaya tanah di Ba’ Kelalan
Namun ada satu ‘rahsia’ yang tidak banyak diketahui oleh orang luar berkenaan kampung ini yang terletak kira – kira 62 kilometer (km) dari pusat bandaraya.
Yang dimaksudkan ialah kampung ini turut memiliki warisan unik ‘buaya tanah’ seperti yang terdapat di Ba’Kelalan.
Jika di Bukit Budur Nur, Ba’ Kelalan, arca buaya tanah dibina bagi menghargai pahlawan setempat namun kewujudan arca itu di sini pula dipercayai oleh penduduk setempat bagi melindungi kampung mereka daripada ditimpa musibah.
Bagaimana buaya tanah wujud di Serian?
Mengikut cerita penduduk tempatan, arca buaya tanah di sini wujud sejak zaman pemerintahan Kesultanan Brunei iaitu sekitar 1700.
Ketua Kaum Kampung Lebor, Nilang Enjah berkata, ketika itu pemimpin tempatan dititahkan oleh Sultan Brunei untuk ke istananya bagi membincangkan soal kebajikan rakyat dan juga cukai.
Katanya, sebelum pulang sultan akan mengurniakan cenderahati kepada pemimpin – pemimpin yang dijemputnya.
“Cenderahati yang diberikan ialah pintu yang berukiran nabau (ular besar), dua batang lembing serta segumpal tanah yang diambil di bawah tangga istana.
“Tanah itu pula bukan tanah biasa kerana dipercayai boleh memberi perlindungan.
“Sekembalinya mereka di kampung, tanah itu digunakan untuk membuat arca buaya tanah.
“Tanah itu diletakkan pada bahagian jantung buaya dan sejak itulah wujudnya arca di sini,” kongsinya dengan TVS baru – baru ini.
Tradisi miring buaya tanah ratusan tahun dipertahankan hingga kini
Sejak ratusan tahun, penduduk Kampung Lebor melakukan upacara miring buaya tanah itu.
Menariknya, tradisi berkenaan masih dipertahankan hingga kini terutama ketika menjelang sambutan Hari Gawai.
Ini berbeza dengan buaya tanah di Ba’ Kelalan yang tidak lagi dijadikan simbol penyembahan pada hari ini.
Sementara itu, Nilang memberitahu, buaya tanah di sini juga mempunyai bentuk berbeza berbanding di tempat lain.
“Buaya tanah di sini mempunyai duit syiling dan kertas sebagai sisiknya,” katanya.
Katanya, ketika awal kewujudan buaya tanah berkenaan, penduduk kampung menggunakan duit syiling yang dikurniakan oleh Sultan Brunei.
“Selepas itu nenek moyang kami menggunakan duit syiling yang dikeluarkan pada zaman pemerintahan Raja Brooke malah ketika penjajahan Jepun, duit syiling dari negara itu juga digunakan sebagai hiasan pada badan buaya ini,” katanya.
Perubahan terus berlaku membabitkan hiasan buaya tanah itu mengikut peredaran zaman, kata Nilang.
“Sekitar tahun 1970-an, apabila ketua kami membenarkan orang luar masuk untuk melihat upacara miring ini, kebenaran juga diberikan kepada pengunjung untuk menukar syiling lama yang terdapat pada badan buaya tanah itu dengan duit syiling baharu,” katanya.
Perkara itu katanya menyebabkan duit syiling zaman dahulu tidak lagi kelihatan pada badan buaya tanah berkenaan.
Mengapa miring buaya tanah dianggap penting di Kampung Lebor?
Berbeza dengan arca buaya tanah di Ba’Kelalan yang dibina di kawasan bukit, arca itu di sini ditempatkan dalam sebuah lubang.
Ajaibnya menurut Nilang, lubang berkenaan tidak pernah ditenggelami air walaupun pada musim tengkujuh.
“Ini kerana buaya tanah itu dipercayai mempunyai rohnya yang tersendiri dan memiliki ‘kuasa’ untuk memakbulkan permintaan, menyembuhkan penyakit serta mampu menolak malapetaka menimpa penduduk kampung,” katanya.
Menurutnya, upacara miring dilakukan pada setiap tahun terutama menjelang Hari Gawai bagi memohon supaya kampung mereka terhindar daripada musibah.
Ketika berada di kampung itu, penulis berkesempatan menyaksikan upacara itu dan apa yang diperhatikan, hanya kaum lelaki dibenarkan masuk ke dalam lubang itu.
Berdasarkan kepercayaan penduduk, sekiranya wanita masuk ke dalam lubang itu, kampung berkenaan akan dilanda musibah.
Persiapan rapi sebelum miring
Seorang penduduk, Sudin Baga yang terlibat dalam upacara miring memberitahu, pelbagai persiapan perlu dilakukan sebelum ritual dimulakan.
“Seperti yang dilihat tadi, perkara pertama yang harus dilakukan ialah memberi salam.
“Peringkat kedua pula, upacara miring dilakukan dengan memberi makan,” katanya.
Menurut Sudin, makanan seperti buah pinang, sirih dan cucur akan diletakkan dalam talam besar ketika upacara berkenaan.
Menurutnya lagi ketika masuk ke lubang itu, semangat seseorang perlu kuat bagi mengelakkan perkara tidak diingini.
Untuk itu katanya, daun semang akan digunakan sebagai ‘perlindung’ supaya tidak lemah semangat ketika upacara berkenaan berlangsung.
“Jika semangat tidak kuat semasa turun ke lubang itu, mungkin boleh pengsan. Setiap orang mempunyai semangat yang berbeza,” katanya.
Warisan yang perlu dipertahankan, jadi produk pelancongan – John Illus
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Illus yang turut hadir menyaksikan upacara itu berkata, adat berkenaan perlu dipertahankan.
Kata beliau, ini kerana ia merupakan keistimewaan yang terdapat di kampung itu dan perlu dipulihara untuk tatapan generasi akan datang.
“Kita perlu melihat asal usul, biasanya dalam satu kawasan penempatan memang terdapat tempat yang digunakan untuk pemujaan,” katanya.
Usaha mengekalkan tradisi itu juga kata John supaya amalan nenek moyang yang diwarisi itu tidak hilang ditelan zaman.
Pada masa sama katanya, ia berpotensi untuk dibangunkan sebagai lokasi tumpuan pengunjung di Serian yang seterusnya dapat meningkatkan pendapatan penduduk setempat.
“Pihak saya bersedia untuk memberi bantuan yang diperlukan oleh penduduk untuk memelihara tapak ini selain bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi membangunkan serta mempromosikan lokasi itu kepada pengunjung luar,” ujarnya. -TVS