KUCHING, 30 Ogos: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) menawarkan pakej pelancongan hebat kepada pelancong yang ingin ke Sarawak.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif STB (Pemasaran dan Komunikasi Bersepadu) Suriya Charles Buas berkata, pakej itu ditawarkan sempena Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Fair Kuala Lumpur 2023 di Pavilion Sarawak, Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 1 hingga 3 September ini.
Kata beliau, MATTA Fair merupakan satu platform terbaik bagi pihaknya bagi mempamerkan pelbagai produk seni dan kraf di Sarawak.
“STB dan 16 rakan industri lain akan mempromosikan pelbagai tawaran pelancongan yang memfokuskan budaya, seni, kraf, pengembaraan semula jadi serta gastronomi di Sarawak.
“Pada masa sama, pakej pelancongan yang menarik seperti melawat ke rumah panjang, aktiviti selam, berkayak dan mendaki gunung bakal ditawarkan serta STB juga akan memperkenalkan makanan dan minuman Sarawak di Pavilion Sarawak yang terletak di gerai 1L11 – 1L22,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Suriya, pengunjung yang singgah di Pavilion Sarawak juga boleh mengetahui lebih lanjut mengenai pakej yang ditawarkan dan membeli-belah kraf tangan Sarawak yang mencerminkan keindahan warisan di Kuching yang telah diiktiraf sebagai ‘World Craft City’ oleh World Craft Council.
“Pengunjung juga boleh menyaksikan persembahan muzik sape pada 12 tengah hari, 3 petang dan 5.30 petang setiap hari dan berpeluang memenangi cenderahati semasa sesi soal jawab mengenai tempat-tempat menarik di Sarawak yang dijadualkan pada pukul 11.45 pagi, 2.30 petang dan 6.00 petang setiap hari,” katanya.
Aktiviti lain yang disediakan termasuk pengunjung boleh menyertai bengkel tarian iaitu Tarian Iban, Tarian Bidayuh dan Tarian Orang Ulu.
Antara pempamer yang membuka reruai di Pavilion Sarawak ialah Brighton Travel & Tour Sdn Bhd, Cat City Holidays Sdn Bhd, CPH Travel Agencies (Sarawak) Sdn Bhd, Greatown Travel Sdn Bhd, Hemisphere, Innosar Holidays Sdn Bhd, Inter-Continental Travel Centre Sdn Bhd, Khaimal Borneo Sdn Bhd, Meritin Hotel Kuching, One Wayang Tours Sdn Bhd, Transworld Travel Services Sdn Bhd dan Tropical Adventure Travel & Tours Sdn Bhd.
Untuk maklumat lanjut mengenai STB dan penyertaannya dalam MATTA Fair KL 2023, orang ramai boleh melayari laman web rasmi STB di www.sarawaktourism.com . – TVS