PELBAGAI JENIS TUKUN TIRUAN DILABUHKAN DI SARAWAK
Selain meneraju program ‘Rig-to-Reef’, perairan Sarawak turut menyaksikan pelbagai jenis tukun tiruan yang telah dilabuhkan sejak tahun 1984 hingga kini, 2023.
Sejumlah 201,055 buah pelbagai jenis tukun tiruan berjaya dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), menurut Timbalan Pengarahnya, Liza Long.
Beliau mendedahkan, jumlah itu merangkumi tukun tayar (195,641 buah), tukun vesel (155), tukun bebola – reefball (3,849), tukun kuboid (30), tukun rekreasi (681), tukun dasar lembut (75), tukun penghalang pukat tunda (345), dan tukun Culvert-Proka (174) serta tiga buah tukun ‘Rig-to-Reef’.
Bagi tahun ini (2023), Liza memberitahu JPLS telah melabuhkan di lapan kawasan tapak iaitu di Kuala Balingian, Matu, Igan, Kuala Tatau, Belawai, Gerigat, Santubong dan Sampadi dengan melibatkan 148 buah pelbagai jenis tukun tiruan.
“Pemilihan jenis tukun tiruan untuk dilabuhkan ditentukan hasil kajian terhadap permukaan dasar laut dan tujuan ia dilabuhkan,” katanya ketika ditemui TVS pada program melabuhkan tukun tiruan kuboid di Santubong pada 26 Ogos lalu.
Memetik contoh akan tukun kuboid dilabuhkan di Santubong baru-baru ini seperti yang disaksikan penulis ketika mengikuti pihaknya serta turut berada di atas tongkang sekitar lapan batu nautika dari pantai merupakan intervensi pihak JPLS menghalang kegiatan pukat tunda di persisir.
Matlamat program melabuhkan pelbagai jenis tukun tiruan di Sarawak ujarnya dilaksanakan dengan kajian di lapangan (dasar laut) serta mendapatkan pandangan daripada golongan nelayan setempat.
“Sekiranya sesebuah kawasan itu berlumpur maka JPLS akan melabuhkan tukun jenis dasar lembut yang lebih tinggi agar dapat mengelak ia merencatkan fungsi tukun itu dalam laut,” jelasnya.
Sementara itu mengulas berhubung penglibatan JPLS dalam program ‘Rig-to-Reef’, Liza mendedahkan pihaknya terlibat secara langsung daripada awal inisiatif berkenaan dilaksanakan sekitar tahun 2003 lagi.
“Pihak JPLS bekerjasama secara mengkaji kawasan perairan dan dasar laut yang sesuai untuk dilabuhkan pelantar minyak PETRONAS yang telah dinyahtauliahkan terbabit.
“Selain itu kakitangan JPLS turut berkhidmat sebagai penyelam profesional kepada PETRONAS dalam program Baram-8 (Kenyalang Reef), DANA, dan D30,” ujarnya.
TUKUN TIRUAN TINGKATKAN HASIL NELAYAN
Pembangunan tukun tiruan di seluruh negeri ini diyakini telah meningkatkan hasil pendapatan nelayan pantai di Sarawak sekitar 15 hingga 25 peratus.
Menurut Pereka Tukun Culvert Proka, Fairol Tajuddin Suhaili, program ‘Rig-to-Reef’ merupakan inisiatif kerjasama antara tanggungjawab sosial korporat atau Corporate Social Responsibility (CSR) antara PETRONAS dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) yang telah memberi manfaat kepada ekosistem dan sosioekonomi perikanan serta pelancongan marin.
“Kerjasama program ini telah menyaksikan pemain industri berganding bahu bersama pihak kerajaan berusaha melaksanakan hasrat penjagaan alam sekitar terutama memulihara perairan Sarawak,” katanya ketika ditemu bual TVS.
Menurut beliau, ketahanan struktur tukun tiruan daripada pelantar minyak yang dinyahtauliahkan seperti program ‘Rig-to-Reef’ Baram-8 (Kenyalang Reef), DANA, dan D30 di dasar laut berjaya membentuk habitat baharu hidupan marin.
“Inisiatif pemuliharaan sumber laut yang dilaksanakan ini amat penting untuk dinikmati generasi akan datang,” ujarnya yang juga berkhidmat sebagai Pegawai Perikanan Kanan.
Pada masa sama, Fairol berkata program ‘Rig-to-Reef’ termasuk kesemua program melabuhkan tukun tiruan yang diusahakan JPLS melibatkan kos dan bahan binaan yang tidak menyumbang kepada pencemaran alam sekitar.
Bahkan tegasnya keseluruhan konsep program ‘Rig-to-Reef’ dan program melabuhkan tukun tiruan yang lain berjaya menyuburkan habitat dan ekonomi perikanan negeri ini.
HASIL LAUT DARI KAMPUNG PIKAT PERAIH BANDAR
Terletak sekitar 40 kilometer (km) dari bandar raya Kuching, Kampung Sampadi merupakan sebuah perkampungan nelayan di Sarawak.
Menurut salah seorang penduduknya, Azwan Sahar, 40, sungai dan laut berhampiran kampung itu merupakan nadi ekonomi mereka sejak dahulu lagi.
“Saya turun ke laut (menjadi nelayan) sepenuh masa…Pekerjaan ini (nelayan) diperturunkan oleh bapa saya…ketika kecil saya sering mengikutnya turun ke laut,” kata bapa seorang cahaya mata itu.
Uniknya menurut Azwan sejak bergelar nelayan sekitar 20 tahun lalu hingga ke hari ini hasil tangkapannya dan nelayan kampung yang lain berhampiran berjaya mencuri perhatian para peraih daripada luar kampung.
“Kami tidak perlu keluar daripada kampung untuk menjual hasil tangkapan kerana peraih akan berlumba-lumba datang kepada kami,” ujarnya.
Rezeki sedemikian kata Azwan membolehkan dirinya selaku generasi kedua nelayan di Kampung Sampadi terus bergantung harap menghidupkan keluarganya dengan meredah lautan hingga kini.
“Saya dan rakan nelayan yang lain juga berharap lebih banyak lagi tukun tiruan dilabuhkan di perairan negeri ini terutamanya di kawasan Sampadi, Lundu ini.
“Selain melabuhkan ia (tukun tiruan) di laut, kami juga berharap ia turut dilabuhkan di sekitar sungai kerana sungai di sini juga lubuk rezeki kami,” katanya ketika ditemui penulis di jeti Kampung Sampadi baru-baru ini.
‘NURSERI’ BAGI IKAN BERKUALITI
Sementara itu, bergelar nelayan sejak 40 tahun lalu, inisiatif melabuhkan tukun tiruan yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan diakui Morni Suai telah memberi nafas baharu kepada sumber perikanan.
Warga emas, 65, dari Kampung Sampadi, Lundu Sarawak itu berkata pengalamannya sebagai nelayan sejak usianya sekitar 20-an telah mendewasakan pandangan beliau terhadap ‘pasang’ dan ‘surut’ serta gelora rezeki daripada laut yang diredah beliau setiap hari.
“Saya telah melihat bagaimana perairan kita (Sarawak) belum ada tukun tiruan dan saya juga berpeluang merasai rezeki di laut dengan adanya tukun tiruan yang dilabuhkan,” katanya yang juga ditemui penulis jeti Kampung Sampadi.
Jurang perbezaan perairan Sarawak dengan adanya tukun tiruan dan tanpa dilabuhkan tukun tiruan menurut beliau terlalu ketara.
“Jika dahulu tanpa tukun tiruan agak sukar untuk kami (nelayan) memperoleh tangkapan yang banyak kerana perairan negeri kita tidak banyak ada terumbu karang yang berfungsi sebagai ‘rumah’ ikan-ikan.
“Tetapi sejak tukun tiruan…tidak kira apapun jenis tukun tiruan yang dilabuhkan oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) telah membuka pintu rezeki kami sebagai nelayan kecil secara lebih meluas,” ujarnya.
Pelbagai spesis ikan yang berkualiti tinggi seperti spesis kerapu, jenahak dan ikan merah kata Morni sering diperolehnya daripada sekitar tukun tiruan yang dilabuhkan oleh JPLS di perairan Sampadi hingga Lundu.
“Saya dan nelayan lain juga pernah membawa pulang hidupan laut seperti udang karang (lobster) gred terbaik yang telah memberi pulangan lumayan kepada kami di sini,” ujarnya. -TVS