KUCHING, 30 Ogos: Sarawak tiada isu untuk melaksanakan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bakal dicadang untuk dilaksanakan di sekolah seluruh negara, demikian menurut Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Datuk Roland Sagah Wee Inn.
Beliau berkata, modul tersebut adalah tidak diwajibkan kepada pelajar bukan Islam dan mereka mempunyai pilihan untuk mempelajarinya sekiranya mahu.
“Bagi saya, kita sangat terbuka. Premier Sarawak kita sekarang pun seorang Muslim, dan dia juga ada memberi dana untuk gereja dan kuil, kita tidak mempunyai masalah dengan itu,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Makmal Bakat dan Inovasi Digital di sini, pada Rabu.
Namun begitu, Roland berkata, dari segi politik, keputusan tersebut mungkin akan membawa masalah terutamanya jika diputar belit oleh pihak pembangkang.
“Tapi dari segi politik, ia tidak bagus untuk kita, kerana ahli politik akan menggunakannya semasa pilihan raya nanti, terutamanya pembangkang,” katanya.
Tambahnya, beliau hanya akan membantah sekiranya modul pembelajaran tersebut menjadi paksaan kepada pelajar bukan Islam.
Menurutnya, jika pelajar bukan Islam ingin mempelajari modul tersebut secara sukarela, mereka dapat menambah pengetahuan baharu mengenai agama Islam seperti mana pelajar bukan Islam menerima pembelajaran agama lain di sekolah mubaligh di Sarawak. – TVS