PUTRAJAYA, 30 Ogos: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat Hari Kebangsaan 2023 yang antara lain menekankan pentingnya perpaduan dalam mempertahankan kemerdekaan negara bagi menggilap Malaysia sebagai sebuah negara hebat.
Beliau berkata hasrat itu boleh dicapai kerana Malaysia mempunyai limpahan golongan pekerja yang boleh diangkat sebagai pakar teknologi dan profesional yang mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia.
“Antara cita dan harapan, negara harus bersatu dan merangka Ekonomi MADANI yang mampan serta jaminan keadilan untuk semua rakyat pelbagai kaum dan agama.
“Mari kita manfaat waktu yang ada di sisa-sisa hidup kita ini untuk berbuat bakti kepada diri, keluarga dan masyarakat kita dan yakinlah negara ini bukan biasa. Negara ini punya hasil-mahsul yang hebat melimpah ruah,” kata Anwar dalam amanat pertama Hari Kebangsaan beliau di hadapan lebih 7,000 hadirin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri-menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil penduduk dan pelajar sekolah menghadiri majlis amanat yang diadakan sempena Hari Kebangsaan 2023 yang akan disambut esok.
Majlis itu juga disiarkan secara langsung di televisyen tempatan dan media sosial
Anwar berkata antara syarat untuk mencapai aspirasi itu adalah dengan memastikan “merdeka rakyat” iaitu sebuah masyarakat yang merdeka minda dan jiwanya serta bebas daripada pandangan pemikiran penjajah dan pemikiran jumud.
Perdana Menteri berkata untuk memastikan Malaysia maju, semua peringkat rakyat di negara ini perlu berjiwa merdeka dengan menolak menjadi perkakas dan dieksploitasi golongan elit untuk mengaut keuntungan peribadi yang merugikan negara.
Selain itu, penyertaan dan perpaduan setiap kaum adalah penting dalam memastikan Malaysia muncul sebagai sebuah negara yang hebat pada abad ini selepas prestasi yang mendatar sejak 20 tahun lepas.
Beliau berkata Kerajaan Perpaduan memberi jaminan akan mempertahankan hak setiap rakyat di negara ini tanpa ada yang dipinggirkan namun perkara yang telah termaktub dalam Perlembagaan seperti hak dan keistimewaan Bumiputera serta Islam sebagai agama Persekutuan akan terus dipertahankan.
“Kita kena pertahan semangat bahawa negara ini milik semua rakyat. Kesatuan dan perpaduan ini (perlu) dipupuk untuk dijamin masa depannya mulai sekarang,” kata beliau. -TVS