Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Proses kerja untuk melabuh platform DANA yang dinyahtauliah menjadi tukun di lokasi yang telah dicadangkan oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) pada kedalaman air 46 meter. Foto: Muhammad Ismail Arbi.

SIRI 2: Dinamik pelantar minyak kepada terumbu (Rig-to-Reef)

ByFarah Diyana Samsuddin

KAEDAH PENYAHTAULIAHAN ‘RIG-TO-REEF’

Satu kajian terperinci berhubung aktiviti penyahtauliahan pelantar minyak untuk dilabuhkan menjadi tukun tiruan dihasilkan menerusi – Analisis Dinamik Bendalir Pengiraan bagi Struktur Jaket ‘Rig-to-Reef’ (R2R).

Menurut kajian, aktiviti penyahtauliahan platform dilakukan ekoran ladang (sumber minyak) yang tidak produktif dan harga minyak yang tidak stabil.

Justeru itu, salah satu kaedah yang dilaksanakan oleh syarikat minyak dan gas adalah dengan menyahtauliahkan pelantar kepada tukun tiruan melalui program pelantar ke terumbu (Rig-to-Reef).

Kajian juga mengakui bahawa program penyahtauliahan sedemikian memberi manfaat kepada hidupan marin dan meningkatkan pengeluaran hasil perikanan yang berkualiti.

Gambar menunjukkan struktur jaket berkaki tiga Baram-8 yang dinyahtauliah bersedia untuk dilabuhkan. Foto: Daud Awang.

Dalam kajian ini, tindak balas dinamik dan ciri aliran platform jaket telah dikaji menggunakan analisis dinamik bendalir pengiraan (CFD). Jaket merupakan bahagian keluli tegak tertanam ke dasar laut yang berfungsi sebagai batang gerudi tengah melindungi kegiatan menggerudi daripada sebarang kerosakan atau gangguan.

Tiga struktur jaket dengan saiz yang berbeza digunakan untuk menyiasat kesesuaian struktur tersebut sebagai potensi tukun tiruan.

Tekanan yang dikenakan pada struktur serta pusaran belakang dan fenomena upwelling (julang air) turut dikenal pasti.

Kajian lapangan sekitar setahun sebelum pelantar minyak Baram-8 dilabuhkan bertujuan untuk memastikan penempatan larva terumbu karang dan menarik hidupan marin untuk mendiami sekitar tukun tiruan yang menjadi ‘rumah’ baharu habitat marin.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa saiz platform dan konfigurasi adalah kriteria penting untuk mereka bentuk mana-mana tukun tiruan daripada pelantar minyak usang yang dinyahtauliah.

“Tekanan pada anggota jaket berada dalam julat yang boleh diterima.

“Indeks kecekapan yang lebih tinggi bagi pusar belakang dan upwelling juga boleh diperoleh oleh struktur jaket yang lebih kecil,” menurut kajian yang diterbitkan pada 2021 oleh Penerbit Akedamia Baru.

Kajian dan jurnal berkenaan dihasilkan oleh Mohd Asamudin A. Rahman, Muhammad Nadzrin Nazri, Fatin Alias, Ahmad Fitriadhy dan Mohd Hairil Mohd dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Lautan dan Informatik, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu.

Turut diperjelaskan oleh kajian berkenaan berhubung tiga platform jaket (pelantar minyak) berkaki tiga dengan saiz yang berbeza dikaji sebelum ia dilabuhkan sebagai tukun tiruan.

Perbezaan platform A, B, dan C (seperti gambar dibawah) menunjukkan dimensi jaket mempengaruhi nilai tekanan air laut yang menjadi signifikan terhadap keupayaan larva terumbu karang untuk mendap dan membesar pada ‘Rig-to-Reef’.

Gambar menunjukkan struktur jaket berkaki tiga Baram-8 yang dinyahtauliah bersedia untuk dilabuhkan. Foto: Daud Awang.

Turut dipertimbangkan dalam kajian ini hasil dapatan penulis ialah perairan Malaysia dalam kedalaman air kira-kira 28 hingga 80 meter (m) di bawah paras purata laut telah menjayakan program ‘Rig-to-Reef’.

Menurut Ketua Daerah Perikanan, Daerah Kuching, Muhammad Ismail Arbi, program ‘Rig-to-Reef’ di Sarawak dilabuhkan dengan kedalaman air laut melebihi 42m iaitu keadaaan dasar setiap tukun tiruan adalah lapang.

Muhammad Ismail Arbi ketika menyaksikan pelantar D30 dilabuhkan pada kedudukan 30 batu nautika dari Bintulu. Foto: Muhammad Ismail Arbi.

“Kawasan dasar itu lapang dengan keadaan berpasir atau berlumpur…tetapi mesti tidak berhampiran daripada kawasan terumbu karang atau tukun semula jadi di dasar laut berkenaan,” katanya ketika ditemui TVS baru-baru ini.

 

Ilustrasi menggambarkan proses jaket Baram-8 dinyahtauliahkan untuk dilabuhkan. FOTO: Jabatan Perikanan Laut Sarawak

Ismail yang juga kakitangan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) serta terlibat secara langsung dalam ketiga-tiga program ‘Rig-to-Reef’ iaitu Baram-8 (Kenyalang Reef), DANA dan D30.

“Jaket Baram-8 telah dilabuhkan pada tahun 2004 iaitu sekitar 11 batu nautika (bn) dari pantai Bungai, Miri.

“Manakala pelantar Dana telah dilabuhkan lebih kurang 18 bn dari pantai Bungai, Miri juga pada tahun 2017 seterusnya pada tahun yang sama (2017) pelantar D30, jaket DANA dan jaket D30 dilabuhkan pada kedudukan 40 bn dari Bintulu,” jelasnya.

Pelantar D30 yang sedia dilabuhkan pada tahun 2017 di perairan Bintulu. Foto: Muhammad Ismail Arbi.

INTERGRITI PELANTAR MENYUMBANG PRESTASI TERUMBU

Sebagai projek perintis, Baram-8 milik PETRONAS yang merupakan struktur pelantar minyak pertama dinyahtauliah menjadi terumbu (Rig-to-Reef) di Malaysia.

Pelantar ini telah dipasang pada Ogos 1968, lapan batu nautika dari Tanjung Baram, Miri namun struktur itu runtuh pada Disember 1975.

Selepas kajian pihak PETRONAS bersama Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS), Baram-8 telah diselamatkan dan dinyahtauliah menjadi terumbu tiruan pada akhir tahun 2004.

Menurut jurnal Indeks Daya Maju Terumbu untuk ‘Rig-to-Reef’ (R2R) di Malaysia, proses penyahtauliahan Baram-8 daripada pelantar minyak kepada tukun tiruan telah dijalankan di atas tongkang terapung di laut.

Sementara kajian yang dijalankan oleh penyelam profesional bagi program ‘Rig-to-Reef’ Baram-8 (Kenyalang Reef), Daud Awang menyaksikan Baram-8 ialah perigi tunggal yang runtuh dengan jaket berkaki tiga.

“Struktur itu dipotong kepada dua bahagian dan diletakkan pada kedalaman lebih cetek 21 meter (m) dengan bahagian atas struktur berada 14 m dari permukaan laut,” katanya ketika ditemu bual TVS baru-baru ini.

Daud yang juga pakar terumbu karang memberitahu tidak semua bahagian atau struktur pelantar sesuai sebagai ‘rumah’ terumbu dan tidak dilabuhkan sebagai tukun tiruan.

Struktur jaket dari Baram-8 yang telah dinyahtauliahkan bersedia untuk dilabuhkan. FOTO:Muhammad Ismail Arbi

“Pelantar mesti terlebih dahulu menjalani penilaian ekologi dan struktur yang meluas untuk menilai sebarang potensi nilai yang mungkin ditambah kepada ekosistem tempatan untuk kestabilan dan kesesuaiannya turut dipertimbangkan,” ujarnya.

Beliau yang merupakan salah seorang pengkaji bagi program‘Rig-to-Reef’ serta turut terlibat secara langsung dalam kesemua projek ‘Rig-to-Reef’ di negeri ini sejak 20 tahun lalu mengakui penilaian struktur platform (pelantar) terdiri daripada penilaian integriti struktur dan prestasi terumbu pada tukun tiruan.

“Tugasan saya sebagai penyelam dalam projek ‘Rig-to-Reef’ adalah memeriksa kesesuaian dasar atau tapak tukun tiruan sebelum pelantar minyak yang telah dinyahtauliahkan untuk dilabuhkan di sesuatu tapak.

“Pada masa sama, saya juga membantu penyelidik dalam mengenal pasti flora dan fauna di kawasan tapak kajian (iaitu tapak ‘Rig-to-Reef’),” katanya ketika ditemui TVS.

Daud yang juga Ketua Stesen Penyelidikan Marin Pulau Layang-Layang turut berkongsi pengalaman berkenaan perbezaan utama usaha melabuhkan ‘Rig-to-Reef’ berbanding tukun tiruan jenis lain adalah ‘Rig-to-Reef’ memiliki saiz yang besar dari segi meter persegi dan berat yang melebihi lima metrik tan ™ dan ke atas.

Menurut Daud lagi faktor saiz dan berat sesebuah tukun tiruan terutamanya ‘Rig-to-Reef’ menjadi cabaran utama bagi penyelam profesional namun dengan kepakaran yang diterapkan oleh Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) yang membantu daripada segi teknikal dan lapangan sekali gus melancarkan kesemua proses untuk melabuhkan tukun tiruan berkenaan.

“Cabaran utama sepanjang saya terlibat dalam Projek ‘Rig-to-Reef’ ini adalah terlibat dalam melabuhkan struktur yang mempunyai berat melebihi 1,000 metrik tan. Berat keseluruhan Pelantar DANA adalah 685 tm manakala Pelantar D30 pula 1,070 tm,” jelasnya.

Daud juga mendedahkan pelantar minyak D30 di Bintulu yang memiliki struktur mega telah menjadikan ia sebagai pelantar minyak usang yang paling besar telah dilabuhkan sebagai tukun tiruan di Malaysia.

Penyelam profesional, Daud Awang memeriksa salah satu spesis terumbu yang membiak di Kenyalang Reef (Baram-8) pada Julai yang lalu. Foto: Daud Awang.

– TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan