Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kenyalang Reef (Baram-8) kini menjadi ‘rumah’ hidupan marin setelah hampir 20 tahun dilabuhkan. Foto: Daud Awang

SIRI 1: Pelantar minyak usang dinyahtauliah, sinar kepada laut Sarawak

ByFarah Diyana Samsuddin

PELANTAR MINYAK DINYAHTAULIAH JADI TUKUN TIRUAN

Kelestarian hidupan marin demi keterjaminan habitat perairan di Sarawak telah menyaksikan negeri ini menjadi negeri pertama di Malaysia melabuhkan tukun tiruan daripada pelantar minyak terpakai yang dinyahtauliahkan.

Inisiatif berkenaan diperkenalkan sebagai program ‘Rig to Reef’ (pelantar kepada terumbu) iaitu struktur pelantar minyak terpakai atau usang diusahakan menjadi tukun tiruan dengan mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan bagi menyuburkan ekosistem hidupan marin di perairan negeri ini.

Program ‘Rig-to-Reef’ pertama di Malaysia menyaksiakn dengan pemerterian Perjanjian Persefahaman (MoU) antara PETROLIAM Nasional Bhd (PETRONAS) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) pada 2003.

Perairan Sarawak khususnya di utara negeri ini menjadi lokasi pertama penyahtauliahan pelantar minyak terpakai milik PETRONAS iaitu pada 16 November 2004, ia (pelantar minyak terpakai) telah dilabuhkan di perairan Baram, Miri.

Pelantar minyak Baram-8 yang berubah wajah menjadi tukun tiruan terbabit telah dinamakan; Kenyalang Reef (Baram-8).

Menjadi ‘Rig-to-Reef’ pertama di Bumi Kenyalang sekali gus di Malaysia, projek Baram-8 seolah tidak didendang lantang hingga rakyat Sarawak sendiri ramai tidak mengetahui bahawa Kenyalang Reef (Baram-8) itu berjaya memelihara dan memulihara flora dan fauna di perairan negeri ini.

Paling menarik kejayaan program ‘Rig-to-Reef’ Baram-8 (Kenyalang Reef) yang menjadi perintis kepada beberapa projek melabuhkan tukun tiruan daripada pelantar minyak terpakai juga di Sarawak ini.

Selepas Baram-8, perairan Sarawak sekali lagi dipilih oleh pihak PETRONAS untuk menyahtauliahkan dua pelantar minyak mereka yang dinamakan sebagai DANA dan D30 pada tahun 2017.

Ketiga-tiga program ‘Rig-to-Reef’ berkenaan diakui oleh pakar serta golongan nelayan sekitarnya memberi pulangan lumayan sekali gus mewujudkan kawasan rekreasi marin yang menarik bagi penyelam scuba di Sarawak.

Struktur jaket pelantar minyak Baram-8 yang telah dinyahtauliah di atas tongkang sebelum dilabuhkan. FOTO: Daud Awang

 

‘RIG-TO-REEF’ KONSERVASI PERAIRAN SARAWAK

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Bohari Leng, ketiga-tiga projek berkenaan telah menambah inisiatif Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang ke-14 iaitu mengurus dan melindungi ekosistem marin dan pantai di Sarawak secara mampan.

Beliau mengakui program ‘Rig-to-Reef’ berjaya mengelakkan kesan buruk yang ketara termasuk dengan mengukuhkan daya tahan ekosistem sekali gus struktur pelantar minyak yang dilabuhkan menjadi tukun tiruan bertindak sebagai agen pemulihan bagi perairan Sarawak mencapai status lautan yang sihat dan produktif selari dengan misi dan visi pihaknya dalam Pengurusan Sumber Perikanan Negara.

“Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) melihat program ‘Rig-to-Reef’ ini sebagai salah satu program konservasi sumber perikanan yang mampan melalui pembangunan projek melabuhkan tukun tiruan di Sarawak.

“Setakat ini hanya tiga buah pelantar minyak yang dinyahtauliahkan menjadi tukun tiruan di tiga buah lokasi di perairan Sarawak.

“Walaupun sedikit angka itu namun ia berjaya meliputi kawasan yang luas di perairan laut termasuk membentuk habitat hidupan marin yang baharu,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Bohari Leng. FOTO: TVS

Dalam satu sesi temu bual khas bersama TVS, Bohari turut menyatakan kesemua program ‘Rig-to-Reef’ kini bukan sahaja menjadi ‘rumah’ bagi ikan yang berkualiti namun berjaya menarik perhatian ikan pemangsa ganas seperti ikan jerung juga.

“Apabila sesebuah tukun tiruan yang kita labuhkan pada mulanya ia akan menjadi perumah kepada ikan-ikan berkualiti sekali gus menjadi habitat sumber marin yang lain termasuk pembiakan terumbu karang hingga ia akan menarik perhatian kumpulan ikan pemangsa.

“Setelah adanya ikan pemangsa seperti jerung yang hidup di tukun tiruan itu ia menjadi penanda aras yang membuktikan program tukun tiruan di sesebuah lokasi yang dilabuhkan berjaya dan matang,” jelasnya.

Kejayaan tukun tiruan menjadi habitat lengkap hidupan marin menurut Bohari hanya memakan masa sekitar enam hingga dua tahun.

“Pihak kita (JPLS) akan mengadakan lawatan dan memeriksa serta turun menyelam dari semasa ke semasa sebagai usaha dalam memastikan tukun tiruan yang kita labuhkan di seluruh perairan Sarawak berada dalam keadaan baik,” tegasnya.

Selain memastikan program tukun tiruan di perairan Sarawak berada dalam kondisi positif, Bohari berkata JPLS giat turun padang mendekati golongan nelayan di seluruh negeri.

“Kebanyakkan tukun tiruan yang dilabuhkan merupakan permintaan para nelayan di sekitar sungai dan laut kerana mereka mengakui inisiatif tukun tiruan telah membawa pulangan lumayan kepada pendapatan mereka.

 

AMANAH ‘GUARDIAN OF THE SEA’ SARAWAK

Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS) jelas Bohari merupakan Pengurus Sumber Perikanan di Sarawak yang memelihara perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dengan keluasan kira-kira 172,041 kilometer (km) persegi dengan panjang persisir pantai sekitar 1,035 km.

“Saya meyakini sejak diperkenalkan hingga kini program ‘Rig-To-Reef’ ini membantu JPLS mencapai objektif Projek Pembangunan Tukun Tiruan Sarawak,” ujarnya.

Program ‘Rig-To-Reef’ menurut beliau bukan hanya memberi nadi kepada hidupan marin bahkan program ini juga membendung aktiviti pencemaran serta memulihara perairan.

“Program ‘Rig-To-Reef’ serta tukun tiruan jenis lain akan menjadi penghalang kepada pencerobohan aktiviti pukat tunda.

“Pada masa sama ia akan membaik pulih habitat hidupan marin sedia ada sekali gus meningkatkan ekonomi nelayan pantai seterusnya membangunkan rekreasi perikanan dan skuba di Sarawak,” katanya.

Tukun tiruan Kenyalang Reef (Baram-8) kini berjaya menjadi metropolis marin yang berjaya. FOTO: Daud Awang

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan