LAHAD DATU, 29 Ogos: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memastikan aspek kebajikan anggota dan pegawai pasukan Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) terus dijaga.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dengan kekuatan 189 pegawai dan anggota, ESSCOM berjaya mengekalkan keamanan masyarakat tempatan seperti yang dihasratkan oleh kerajaan dan rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan sangat mengambil berat aspek kebajikan ESSCOM dan ini dapat dilihat menerusi kelulusan peruntukan sebanyak RM40 juta untuk kebajikan yang diumumkan pada 15 Julai lepas.
“KDN melalui agensi telah mengusahakan dalam tempoh yang pantas dengan tiada karenah birokasi untuk melakukan proses penyerahan rumah kepada anggota dan pegawai ESSCOM.
“Saya percaya melalui langkah ini, anggota akan lebih komited untuk bertugas tanpa memikirkan penempatan,” katanya ketika merasmikan dan menyerahkan kunci rumah kepada anggota dan pegawai ESSCOM fasa pertama di Palm Garden di sini hari ini.
Katanya, sebanyak 60 buah unit rumah berjaya diperoleh bagi fasa pertama projek itu yang akan diduduki oleh anggota dan pegawai yang telah berkeluarga.
“Majlis ini sangat signifikan kerana kita tahu ESSCOM berjaya sebagai pasukan yang memastikan keselamatan di kawasan ini terjamin.
“Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, tidak ada kes penculikan berlaku malah ESSCOM dapat membanteras kegiatan penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin,”katanya lagi.-TVS