SARIKEI, 29 Ogos: Seorang kelindan maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori di Jalan Bukit Berayang Sebangkoi, di sini, awal pagi tadi.
Insiden kira-kira 5.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhd Ekxmal Hassim Abdul Rahman, 30, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sehubungan itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, mangsa bersama pemandu lori yang berusia 41 tahun tersepit di bahagian hadapan lori berkenaan sebelum dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.
“Bagaimanapun sebaik sahaja berjaya dikeluarkan, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.
“Pemandu lori yang mengalami kecederaan di bahagian kepala terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahmudin berkata, kedua-dua kenderaan yang berada di laluan sama itu dipercayai dalam perjalanan dari Kuching sebelum berlaku pelanggaran.
Pada masa yang sama katanya, dua lagi mangsa dalam lori yang berasingan terselamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Sebelum menamatkan operasi, kita melakukan pemantauan susulan bagi memastikan lokasi kejadian benar-benar selamat untuk dilalui kenderaan lain,” ujarnya.- TVS