KUCHING, 29 Ogos: Dua lelaki di Sarawak mengalami kerugian mencecah RM1 juta selepas ditipu oleh sindiket pelaburan tidak wujud yang didalangi wanita.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri berkata, kes pertama melibatkan mangsa yang merupakan peniaga dalam talian berusia awal 50-an di Sibu yang lesap wang simpanan sebanyak RM796 000.
Menurut beliau, mangsa menerima pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram pada 14 Julai lalu daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai Karen.
“Suspek menerangkan mengenai pelaburan USDT iaitu Eth Mining.Mangsa kemudian diminta membeli menggunakan modal USDT yang kononnya akan dikreditkan ke dalam akaun mining pool,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Mohd. Azman berkata, mangsa diyakinkan dengan pulangan sebanyak dua hingga tiga peratus sehari menyebabkan dia bersetuju untuk ‘melabur’ menerusi 30 transaksi kepada 16 akaun berbeza.
“Pembayaran bermula pada Julai sehingga pertengahan Ogos dan mangsa menyedari ditipu apabila tidak dapat mengeluarkan wang serta keuntungan yang dijanjikan,” katanya.
Sementara itu kes kedua pula melibatkan seoarang kontraktor berusia lewat 60-an di Kuching yang mengalami kerugian RM158,000.
“Mangsa menerima mesej Whatsapp dari Malaysia Stock Interactive Club melalui individu bernama Jess pada 20 Julai lalu.
“Berminat dengan pelaburan yang diterangkan, mangsa diberikan nama pengguna dan identiti untuk segera melakukan transaksi sebanyak lima kali kepada tiga akaun berbeza sejak awal bulan ini,” ujarnya.
Katanya, mangsa sedar dirinya ditipu setelah gagal mengeluarkan wang dan tidak menerima keuntungan seperti yang dijanjikan.
Sementara itu, Mohd Azman menasihati orang ramai untuk melabur di platform yang betul dan berdaftar di bawah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Orang ramai juga disaran mendapatkan nasihat kewangan dari ejen yang berdaftar tentang sesuatu pelaburan,” katanya. TVS