Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dadah yang dirampas dari suspek. Foto: Polis Limbang

Wanita antara ditahan, Polis Limbang rampas dadah

LIMBANG, 28 Ogos: Polis merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM12,840 dengan tertangkapnya dua individu termasuk seorang wanita di bandar ini semalam.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, suspek lelaki ditahan 7.40 petang di tempat letak motosikal, aras bawah Bangunan Limbang Plaza.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut terhadap beg milik suspek lelaki, polis menemui satu paket plastik berwarna putih berisi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) anggaran berat 37 gram.

“Turut dijumpai sebanyak enam biji pil ecstasy seberat 3.4 gram dan lima paket plastik lutsinar berisi hablur disyaki dadah jenis ketamin seberat 5.2 gram.

“Suspek lelaki kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Jalan Kubong dan kita berjaya menahan seorang wanita di situ,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Menurut Parum, pemeriksaan di sebuah bilik di situ, polis merampas 130 biji pil ecstasy anggaran berat 60 gram, 15 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 16 gram dan sembilan papan kerajang timah berwarna merah/perak disyaki dadah jenis pil erimin 5 seberat 25 gram.

Katanya, kedua-dua suspek berumur 25 dan 27 tahun merupakan penganggur dan semakan rekod jenayah mendapati masing-masing mempunyai satu rekod lampau melibatkan kes pengedaran dadah.

“Hasil siasatan awal kedua-dua suspek tersebut dipercayai terlibat secara langsung dengan aktiviti pengedaran dadah di sekitar Limbang dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.

“Hasil siasatan awal juga mendapati bekalan dadah tersebut dibawa masuk ke daerah Limbang untuk pasaran tempatan, nilai keseluruhan rampasan bernilai RM12,840 dan boleh digunakan seramai 392 orang pengguna,” katanya lagi.

Jelasnya, kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan