KUCHING, 28 Ogos: Sambutan Bulan Kebangsaan sampai ke satu lagi kemuncak dengan berlangsungnya upacara peringatan sempena ulang tahun ke-57 berakhirnya Konfrantasi Indonesia pada 1966, di Makam Pahlawan Sarawak di sini hari ini.
Dihadiri 30 veteran Australia dan 28 veteran New Zealand serta anggota Persatuan Veteran Sarawak, upacara itu turut menandakan pengiktirafan berterusan Malaysia terhadap sumbangan tentera Komanwel semasa era konfrantasi, kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand di Malaysia Pam Dunn.
“Malaysia masih tidak lupa sumbangan anda (para veteran) dan anda semua adalah wira di mata mereka. Hari ini adalah hari untuk memperingati dan merenung kembali, bagi mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan anda, dan memperingati mereka yang telah terkorban,” katanya dalam ucapan di sini, hari ini.
Acara itu turut diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-63 tamatnya Darurat Tanah Melayu pada 1960.
Ketika Konfrantasi pada 1962 hingga 1966, unit daripada Australia dan New Zealand ditugaskan di Borneo dan Semenanjung Tanah Melayu sebagai sebahagian pasukan tentera Komanwel di bawah British.
Sementara itu, Presiden Cawangan Selatan Australia dan Jajahan Utara Persatuan Veteran Tanah Melayu dan Borneo Australia (NMBVAA), Mejar (Bersara) Paul Rosenzweig berkata 71 askar Australia kehilangan nyawa dalam operasi semasa Darurat Tanah Melayu dan Konfrantasi.
“Ini termasuk 11 daripada mereka yang mati mempertahankan Sarawak ketika Konfrantasi,” katanya dan menambah keluarga veteran berkenaan turut berkumpul untuk memberi penghormatan dengan sejumlah 12 kalungan bunga diletakkan di Makam Pahlawan Sarawak. -TVS