KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW 2023) yang berlangsung mulai 21 Ogos hingga semalam menghimpunkan 50 pereka fesyen terkenal Malaysia di tujuh lokasi berlainan.
Dalam acara fesyen tahunan berprestij tahun ini, dua pereka fesyen dari Sarawak antara sorotan di KLFW 2023.
Pereka fesyen Sarawak, Andy Sulaiman, yang mula-mulanya terlibat dalam fesyen industri filem, menyifatkan penyertaannya tahun ini sebagai ‘comeback’ yang amat besar baginya setelah dua tahun tidak beraksi.
“Sememangnya penyertaan tahun ini adalah sesuatu yang bermakna untuk saya, dan lepas dua tahun, saya berasa sangat teruja tetapi gementar,” katanya ketika dalam temu bual eksklusif di Aloft KL Sentral sempena peragaannya pada hari kelima KLFW 2023.
Beliau yang juga pernah mengecapi Anugerah Best Costume Design di Filem Festival Malaysia pada tahun 2019 untuk filem seram, ‘Dukun’ menceritakan kisah permulaannya dalam industri fesyen.
“Saya terlibat dalam dunia fesyen dengan tidak sengaja sebenarnya, mula-mulanya saya di Kuala Lumpur pada tahun 1988, masa tu buat filem pakaian, menceburi dunia fesyen pada tahun 2004.
“Nasihat saya untuk pereka-pereka fesyen baharu Sarawak, terutamanya golongan belia, harus yakin dengan hasil rekaan diri sendiri.
“Usia yang muda tidak harus dijadikan halangan, kerana kalau tidak cuba, tidak tahu, takkan tahu hasilnya,” tambahnya.
Pereka fesyen yang kini berumur 55 tahun ini kemudian memulakan jenamanya sendiri, ‘Andy Sulaiman’ menampilkan aneka rekaan khas untuk lelaki yang bertema moden kontemporari dan pengunaan fabrik semula jadi.
Antara selebriti tempatan yang pernah digayakan lejen fesyen dari Sarawak ini termasuk Farid Kamil, Keith Foo, Zul Ariffin dan ramai lagi. -TVS