KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Pereka fesyen berasal Sarawak, Keith Sam yang kali pertama menyertai Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2023 tampil dengan idea segar pada rekaannya.
Rekaan Keith memukau mata peminat fesyen apabila persalinan yang diperagakan di pentas itu diinspirasikan dari era kolonial.
Merupakan antara pereka fesyen termuda menyertai acara berprestij ini, Keith yang tampil dengan koleksi dinamakan Memento berkata, KLFW 2023 merupakan platform mempromosikan elemen Sarawak di mata dunia.
“Hasil rekaan saya berdasarkan perspektif Sarawak, yang dapat dilihat pada baju seragam tentera.
“Tujuan saya sertai acara ini bukan sekadar untuk memperagakan jenama Keith Sim di Semenanjung Malaysia tetapi juga kepad pembeli antarabangsa,” katanya kepada TVS menerusi temu bual ekslusif di Aloft KL Sentral, Kuala Lumpur.
Koleksi Memento direka khas untuk lelaki dan perempuan dan akan mula dijual pada pertengahan September depan.
Pada KLFW 2023, Keith diberikan slot hari pada keempat yang mana acara berlangsung di Naza Tower Kuala Lumpur.
Berbangga berkongsi ‘idea Sarawak’ , Keith berkata negeri kelahirannya mempunyai banyak budaya yang unik yang dapat diterjemahkan ke dalam rekaan fesyennya.
“Sebagai seorang pereka fesyen dari Sarawak, saya sentiasa mencuba untuk mengutamakan elemen kepelbagaiaan masyarakat di sana.
“Saya berbangsa Cina namun gemar menggabungkan elemen budaya kaum lain di Sarawak dalam rekaan,” ujarnya.
Keith Sim merupakan antara pereka fesyen Sarawak yang terpilih bawah pengurusan ‘Style Series’ untuk sertai KLFW 2023.
Acara minggu fesyen yang terkenal di ibu negara itu berlangsung sejak 21 Ogos lepas berakhir hari ini. -TVS