BINTANGOR, 28 Ogos: Program Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) yang diperkenalkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) membawa satu kejayaan besar dalam pembangunan minda khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program PLF ini memberi peluang kepada warga dewasa, belia-beliawanis dan remaja yang tercicir daripada pendidikan formal untuk mendapatkan bimbingan asas membaca, menulis, dan mengira (3M).
Pelaksanaan program itu katanya, membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membasmi masalah buta huruf di samping meningkatkan taraf sosial rakyat melalui ilmu pengetahuan.
“Ini merupakan salah satu pendekatan yang amat penting bagi memastikan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Sehubungan itu, saya amat berharap pendekatan yang dilaksanakan oleh KEMAS ini dimanfaatkan sebaik mungkin oleh komuniti setempat,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Sijil Program Graduasi Kelas PLF Versi 2.0 Rumah Regina, Sungai Selidap, semalam.
Program disertai seramai 20 orang peserta yang menyertai pengajian selama 16 minggu bermula Mei dan tamat pada penghujung bulan ini.
Kesemua peserta berjaya menamatkan kelas dengan jayanya, diraikan dan seterusnya menerima sijil penghargaan atas komitmen mereka sepanjang menyertai program berkenaan.
Sehubungan itu, Kuong Hiing berharap agar usaha itu terus diperkasakan demi kesejahteraan bersama.
“Harapan saya gunakanlah sebaik mungkin ilmu yang telah dipelajari untuk merebut ruang dan peluang dalam meningkatkan taraf hidup dalam perkembangan teknologi yang semakin pesat hari ini.
“Saya juga berharap agar pihak KEMAS membuka lebih banyak kelas buta huruf di kawasan Meradong dan sudah pasti, saya akan menyokong penuh usaha murni ini,” ujarnya. -TVS