MIRI, 27 Ogos: Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) akan terus memberi sokongan bagi mempromosikan Batik Linut.
Timbalan Menterinya, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, ini kerana produk itu yang dihasilkan oleh Diana Rose dari Mukah dilihat sebagai batik tempatan milik Sarawak yang sangat berpotensi untuk dipromosikan ke peringkat lebih jauh.
“Kita ingin promosi kerana Batik Linut merupakan batik tempatan Sarawak yang bermula di Mukah dan kini sudah ada di Miri.
“Kita masih ingat pada November 2021, batik ini telah dilancarkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan sejak itu ia tersebar ke tempat lain,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media Bengkel Asas Membuat Batik Linut di Coco Cabana pada Ahad.
Tambah beliau, Batik Linut juga mempunyai perbezaan ketara berbanding batik lain kerana dihasilkan menggunakan tepung sagu sebagai tekstil.
“Ini sangat menarik dan diharapkan dengan adanya 21 peserta semalam dan hari ini, orang ramai akan lebih mengenali Batik Linut,” ujarnya.
Sebastian juga berharap kumpulan peserta yang menyertai bengkel bakal menjadi perintis terhadap usaha menyebarkan produk itu secara komersial.
Bengkel Asas Membuat Batik Linut dianjurkan oleh Batik Linut Sdn Bhd berlangsung selama dua hari pada 26 sehingga 27 Ogos.
Menerusinya, pengetahuan dan kaedah tempatan yang pertama digunakan di Sarawak untuk mencipta corak pada tekstil menggunakan tepung sagu dikongsu dengan peserta.-TVS