KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Sri Pahang FC berpesta gol apabila membelasah Kelantan United FC (KUFC) 5-1 pada aksi Liga Super 2023 di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di Kota Bharu, malam tadi.
Skuad Tok Gajah bermula garang apabila berjaya memecahkan kebuntuan seawal minit ke-10 menerusi rembatan jarak jauh oleh pemain pertahanan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham sekali gus menewaskan penjaga gawang KUFC, Muhamad Ilham Amirullah Razali.
Kapten pasukan Sri Pahang, Sergio Aguero terus menambah duka anak buah Ailton Dos Santos Silva apabila menambah jaringan kedua selang 13 minit kemudian dan terus menambah sepakan lintang pada minit ke-27.
Tersentak dengan kejaguhan Sri Pahang, Kijang Hijau cuba bangkit pada babak kedua perlawanan dengan memberi asakan dari kiri dan kanan padang namun penyerang sensasi Sri Pahang FC, Kpah Sherman menghadiahkan gol keempat pada minit ke-66 dengan menyempurnakan tandukan hantaran silang Lucas Da Silva.
Penyerang KUFC, Royizzat Daud, bagaimanapun berjaya meledak jaringan sagu hati pada minit ke-77 apabila melakukan larian ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gawang pelawat Muhammad Zarif Irfan Hashimuddin.
Memasuki masa kecederaan, David Rowley menghukum kerapuhan benteng Kijang Hijau apabila mudah mencipta jaringan kelima untuk menamatkan perlawanan penuh bergaya buat skuad Tok Gajah.
Kekalahan itu menyaksikan KUFC kekal di tangga ke-12 liga dengan mengumpul lapan mata manakala Pahang FC di tempat kelima dengan mengutip 40 mata selepas 20 perlawanan.
Sementara itu, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), petang semalam, menyaksikan PDRM FC membenam Penang FC 3-0 untuk mengutip tiga mata penuh.
Kedua-dua pasukan bermula agresif melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang lawan namun kesilapan pemain pertahanan Penang, Ousmane Fane, yang menampan sepakan percuma dari kiri padang pemain tengah Kyaw Min Oo memakan diri apabila menghadiahkan jaringan buat skuad PDRM FC pada minit ke-36.
Tuah gol sulung perlawanan itu membakar semangat Sang Saka Biru untuk menguasai baki separuh masa pertama yang menyaksikan Penang FC di bawah bimbingan Chong Yee Fatt buntu dalam mencari jaringan penyamaan sehingga waktu rehat.
Bersambung babak kedua permainan, kelalaian barisan pertahanan Harimau Kundang terus mengundang padah apabila tandukan padu pemain import dari Nigeria, James Okwuosa pada minit ke-75 terus melebarkan jurang antara kedua-dua pasukan.
PDRM FC terus mengganas melakukan beberapa percubaan mengejutkan pertahanan lawan dengan Hadi Fayyadh menerjah gawang pelawat pada minit ke-85 menerusi hantaran kiri padang Min Oo namun dinafikan penjaga gawang Penang FC, Azfar Arif.
Penyerang kacukan Jepun-Brazil, Bruno Suzuki, yang dibawa masuk menggantikan Uche Agba pada babak kedua perlawanan mengesahkan kemenangan PDRM FC menerusi rembatan jarak jauh pada masa tambahan (90+3).
Keputusan tersebut menyaksikan PDRM FC naik di kedudukan kelapan liga dengan 27 mata manakala Penang FC kekal di tangga ke-10 dengan 19 mata.
Dalam pada itu, hasrat Perak FC untuk mengekalkan rentak kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila tewas 0-4 kepada Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Perak, Ipoh.
Babak pertama menyaksikan kedua-dua pasukan beraksi seimbang, namun City Boys terlebih dahulu membolosi gawang Perak FC menerusi penyerang sensasi mereka Tchetche Kipre yang mengambil peluang atas kesilapan pemain tengah Sunday Afolabi pada minit ke-30.
Anak buah Nenad Bacina terus menambah duka 7, 000 penyokong tuan rumah apabila Sebastian Avanzini menanduk masuk hasil umpanan sepakan percuma Paolo Josue pada minit ke-47.
Paolo Josue mencetak nama sebagai penjaring gol ketiga pada minit ke-56 dan Sean Gan Giannelli menutup tirai jaringan pada minit ke-88.
KL City FC kini menghuni tempat ketujuh liga dengan 31 mata selepas 21 perlawanan manakala Perak FC di tangga ke-11 dengan16 mata selepas 20 perlawanan. -TVS