KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Pempengaruh media sosial, Khairul Aming dipilih menerima anugerah Creator of the Year sempena TikTokAwards Malaysia yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, malam tadi.
Khairul Aming, 31, menewaskan lima calon lain iaitu Boss James, Lawyer Gandhi, Auntie Purple, Ceddy dan Sally.
Selebriti media sosial berasal dari Kelantan itu yang turut terkenal dengan resepi menu berbuka puasa berkata, dia berterima kasih kepada peminat, ibu dan arwah bapanya.
“Saya sangat berharap arwah ayah dapat melihat kerja keras saya selama ini,” katanya ketika berucap selepas menerima anugerah berkenaan daripada pengarah terkenal tanah air, Datuk Yusof Haslam dan penyanyi terkenal, Ziana Zain.
Khairul Aming turut mengambil peluang menasihatkan anak muda supaya menghabiskan pengajian mereka terlebih dahulu sebelum memilih untuk bergelar pencipta kandungan.
“Ini supaya anda boleh jadi pencipta kandungan berkualiti untuk memajukan Malaysia. Selamat Hari Merdeka,” katanya.
Sementara itu pelakon dan usahawan, Aeril Zafrel pula dipilih sebagai Celebrity of The Year.
Turut dipertandingkan ialah anugerah Rising Star of The Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of The Year, LIVE Creator Of The Year dan TikTok Shop Creator of the Year.
Barisan artis popular yang memeriahkan acara yang kali pertama diadakan ini termasuklah Datuk Seri Siti Nurhaliza, DOLLA, Marsha Milan, Ernie Zakri, Zeppo dan Alyph. -TVS