KUCHING, 28 Ogos: Penganjuran International Recovery Symposium 2023 (IRS 2023) buat julung kalinya di Sarawak pada 18 sehingga 21 September ini merupakan usaha untuk menangani isu penyalahgunaan dadah dan substan (MIDS) peringkat antarabangsa.
Acara itu dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK)Â dengan kerjasama International Society of Substance Use Professionals (ISSUP) Malaysia Chapter dan Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK).
Setakat ini hampir 800 peserta telah mengesahkan kehadiran, kata Dato Sri Fatimah Abdullah yang juga Menteri KPWK.
Kata Fatimah, objektif IRS 2023 adalah untuk memperkasakan dan membina upaya bagi global Drug Demand Reduction (DDR) serta pembangunan profesional yang berterusan dalam pencegahan isu dadah dan substan.
“Objektif IRS 2023 ini adalah kapasiti pembangunan, memperkasakan dan membina upaya untuk global DDR dan profesional gangguan penggunaan bahan.
“Dalam usaha kita untuk menangani isu dadah dan substan (MIDS), pencegahan adalah sangat penting. Elakkan daripada terjebak dan juga sangat penting adalah komponen rawatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambahnya, penganjuran IRS ini juga mengukuhkan rangkaian global profesional DDR dan untuk meraikan profesional, organisasi dan inisiatif yang cemerlang dalam bidang DDR.
IRS 2023 akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg manakala Malam Gala Anugerah Phoenix, Pelancaran ISSUP Malaysia dan Pelancaran Asian Recovery Network akan dihadiri oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan. -TVS