KUCHING, 27 Ogos: Acara gig Black Parade 2.0 bertemakan emo dan pop punk yang dianjurkan Projek Amnesia, pada Sabtu berlangsung meriah.
Hampir 200 orang peminat muzik genre itu hadir mengimbau nostalgia zaman 2000 menerusi persembahan oleh band tempatan seperti Afterfall, 11th Minute, Roses Are Black, We The Leader dan penyanyi Steff Fleur.
Pengasas Projek Amnesia, Bryler Tipa berkata, emo dan pop punk merupakan genre yang diminati ramai di seluruh negara.
“Oleh itu, kami ingin menghidupkan semula genre ini.
“Kami juga berharap agar lebih banyak band tempatan muncul pada masa hadapan agar mereka boleh menjadi sebahagian daripada acara ini,” katanya.
Tambah Bryler, penganjur turut kagum melihat pengunjung turut serta menyanyikan lagu-lagu yang dipersembahkan oleh penyanyi dengan penuh semangat.
Katanya, sambutan hangat itu memungkinkan acara sama akan dianjurkan lagi pada masa akan datang.
Mereka yang berminat untuk mengetahui perkembangan gig tempatan, boleh layari @amnesiakch dan @hauskch. – TVS