KUCHING, 28 Ogos: Kerajaan Sarawak akan memberikan bantuan sewa bilik kepada gelandangan yang diselamatkan selepas mereka keluar dari Tempat Transit Gelandangan (TTG) yang terdapat di beberapa bandaraya di seluruh Sarawak.
Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebelum ini gelandangan yang diselamatkan akan diberikan latihan bagi membolehkan gelandangan tersebut mempunyai kemahiran dan mampu berdikari apabila keluar dari TTG.
Namun begitu, beliau mengakui terdapat keperluan dalam memastikan golongan itu turut mempunyai tempat untuk berteduh selepas keluar dari pusat itu nanti.
“Bila mereka keluar satu masalah yang akan dihadapi adalah tempat tinggal.
“Kita berkerjasama dengan Majlis Daerah terutama di bandar besar di mana kerajaan
ada memberi kemudahan iaitu bantuan sewa bilik sebab jika mereka tidak ada tempat tinggal mereka akan balik lagi ke tempat asal
Beliau turut memberikan contoh kes gelandangan di Sibu di mana seorang Pengawal Keselamatan dan sebuah keluarga mendiami hutan diberikan bantuan sewa bilik dan sewa rumah melalui Majlis Daerah selepas keluar dari TTG Sibu.
Dato Sri Fatimah berkata demikian kepada pemberita sebelum terlibat bersama 11 agensi kerajaan dalam Operasi Cerapan Gelandangan di sekitar kawasan Waterfront Kuching malam tadi.
Dalam operasi selama lebih dua jam itu, tiga kawasan dikenal pasti menjadi lokasi gelandangan berteduh.
Kawasan tersebut adalah pondok rehat di hadapan Waterfront Kuching, kaki lima kawasan kedai di Lebuh India dan di Godown Amphitheatre Waterfront.
Tambah Dato Sri Fatimah lagi operasi malam tadi diadakan bertujuan untuk mengambil profil dan mengumpul data lokasi dan tahap kesihatan gelandangan sebelum operasi menyelamatkan golongan itu yang dijangka pada 2 September ini. -TVS