KOTA SAMARAHAN, 28 Ogos: Kerja-kerja baik pulih fasiliti sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Malah terdapat bangunan sekolah yang terlalu uzur memerlukan perhatian segera bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar dan guru suasana pembelajaran yang kondusif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, pihaknya kini giat dalam membantu setiap sekolah yang terdapat di kawasan berkenaan.
“Saya ambil satu fokus perkara yang ingin saya tekankan iaitu ingin melihat kerja ini menjadi satu perkara yang penting untuk kita di Saratok. Sebab itu, saya sedaya upaya ingin memberi bantuan terhadap setiap sekolah yang ada di Krian yang mempunyai 28 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah.
“Oleh sebab itulah kita membantu sedikit demi sedikit sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan membaik pulih bangunan yang terlalu buruk di sesetengah sekolah. Terdapat juga sekolah yang sedang membuat dewan tahun ini dengan harapan dapat memberi kemudahan kepada sekolah yang berada di kawasan persisir,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gempuru Kelab Raban Iban Sebelak (KRIS) 2023 di Samarahan Country Club pada Ahad.
Menurutnya, kerja-kerja tersebut diharap dapat dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
“Pada masa ini, setiap kerja itu akan dilaksanakan secara berperingkat disebabkan peruntukan yang didengar memang nampak banyak tapi ia akan dibahagikan kepada beberapa pihak.
“Peruntukan tersebut akan dibahagikan kepada rumah panjang, PIBG dan yang lain. Dengan itu ia diharapkan dapat dilaksanakan dalam dua atau tiga tahun akan datang,” jelasnya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyempurnakan penyampaian insentif pendidikan daripada KRIS kepada 31 penerima untuk SPM, SVM, STPM, diploma, sarjana muda dan ijazah sarjana.
Beliau berharap penglibatan dan komitmen KRIS dalam menghulurkan bantuan dari segi pendidikan dan sosial. -TVS