KUCHING, 27 Ogos: Wakil Sarikei, Rena Ara muncul juara The Voice of Borneo musim ketiga malam tadi.
Rena, 23, memukau juri menerusi lagu Peminta Nuan, nyanyian asal Angel Julian.
Selain juara keseluruhan, dia turut dinobatkan sebagai vokalis terbaik dan membawa pulang hadiah RM2,500 serta kontrak rakaman bersama Aka Dambai Production.
Sembilan finalis lain termasuk seorang peserta dari Sabah yang mewakili Limbang turut beraksi pada final.
Sementara itu penganjur, Jesley Jabu berkata, objektif utama pertandingan itu adalah untuk mencari bakat baharu dan seterusnya mengembangkan lagi industri muzik Iban di Sarawak.
“Selain juara, pemenang tempat kedua dan ketiga juga terpilih untuk merakamkan lagu di bawah label muzik berkenaan,” katanya kepada TVS selepas pertandingan.
The Voice of Borneo musim ketiga diadakan kali pertama pada 2019 namun terhenti selama dua tahun akibat pandemik COVID-19 sebelum kembali berlangsung pada tahun lalu dan diteruskan tahun ini.
Proses uji bakat yang bermula sejak April lepas menyaksikan 300 peserta dari tujuh zon berbeza hadir mencuba nasib.
Sementara itu Jesley memberitahu, pihaknya akan membuat beberapa perubahan untuk memeriahkan lagi pertandingan itu pada musim depan.
“Kami bercadang untuk membuka penyertaan kepada peserta dari Sabah dan negara lain yang berada di Kepulauan Borneo.
“Ini termasuklah Kalimantan Indonesia,” katanya. -TVS