LIMBANG, 27 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat komited untuk membantu golongan wanita keluar daripada kemiskinan menerusi Program Wanita Bangkit.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bimbingan dan bantuan tunai berjumlah RM500 yang disalurkan kepada peserta diharap dapat digunakan untuk meningkatkan ekonomi keluarga masing – masing.
Katanya, program itu melatih dan memberi sokongan kepada wanita untuk mula berniaga atau memanfaatkan yang sudah menjadi usahawan terutamanya bagi mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
“Apa yang penting ialah mulakan perniagaan dengan modal yang diberikan.
“Inisiatif ini juga untuk wanita yang mempunyai masalah rumah tangga seperti ditinggalkan oleh suami serta untuk ibu tunggal yang terpaksa menyara anak dan keluarga atas pelbagai sebab,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Keusahawanan Wanita Bangkit @ KPWKM Limbang di Dewan St Edmund, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Nancy memaklumkan, selepas tiga bulan, perkembangan peserta akan dipantau untuk menilai keberkesanan inisiatif berkenaan.
“Sebenarnya program ini dibiayai oleh badan korporat yang menyumbang kepada Yayasan Kebajikan Negara,” katanya.
Beliau menambah, seramai 7,430 peserta di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program ini pada 2023.
“Di Sarawak, seramai 5,602 peserta telah menyertai Program Wanita Bangkit,” jelasnya.
Katanya, di Sarawak juga, sebanyak 12 program termasuk di Limbang sudah dilaksanakan untuk membantu wanita terlibat. -TVS