IPOH, 27 Ogos: Seorang pesara kerajaan di Taiping berputih mata apabila wang miliknya hampir RM190,000 lesap dipercayai selepas ditipu sindiket Phone Scam yang menggunakan taktik penghantaran barang semalam.
Mangsa lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan mula terjerat dalam sindiket tersebut selepas menerima panggilan telefon daripada individu kononnya seorang pegawai dari Pejabat Pos Kuala Lumpur pada 24 Ogos lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Razlam Ab Hamid berkata, mangsa dimaklumkan bahawa terdapat bungkusan mengandungi kad pengenalan miliknya dan beberapa kad kredit yang dihantar ke Sarawak.
Beliau berkata, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada individu lain kononnya pegawai di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka dan mangsa membuat penafian bahawa bungkusan tersebut adalah miliknya.
“Panggilan itu disambung kepada individu dikatakan pegawai polis berpangkat Datuk sebelum suspek kedua itu memberitahu mangsa perlu memindahkan wang RM146,450 ke akaun yang diberikan bagi tujuan siasatan.
“Oleh kerana cemas dan takut, mangsa menurut arahan itu dengan membuat 38 transaksi deposit dan pemindahan wang berjumlah RM186,450 ke dalam enam akaun dalam tempoh 24 hingga 26 Ogos lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Razlam, sebaik urusan pemindahan wang selesai, suspek kedua memberitahu bahawa dia akan memaklumkan semula kepada mangsa setelah siasatan Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) selesai dalam tempoh 30 minit.
“Selepas 30 minit berlalu, mangsa tidak menerima sebarang maklum balas dan dia cuba menghubungi semula, namun panggilan telah disekat.
“Mangsa kemudiannya sedar bahawa dia sebenarnya ditipu dan tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 6.20 petang semalam,” katanya lagi.
Ujar beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS