SERIAN, 27 Ogos: Program Ekopelancongan Bung Sadung Climbathon Trail Challenge 2023 yang merupakan acara tahunan mampu meningkatkan ekonomi penduduk Kampung Bunga di Serian.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, ini kerana keindahan alam semula jadi yang dimiliki kampung terlibat sentiasa menarik minat pengunjung dalam dan luar Sarawak.
Roland Sagah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat berkata, beliau yakin terdapat banyak permintaan untuk merasai pengalaman berada di desa dan melakukan pelbagai aktiviti rekreasi di kampung.
“Saya berharap agar penduduk kampung melalui Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dapat merancang program lain untuk membantu masyarakat setempat meningkatkan lagi sumber pendapatan mereka.
“Ini kerana Bung Sadung Climbathion Trail Challenge sudah mempunyai tarikan tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan acara itu di sini hari ini.
Katanya, sekiranya potensi di kampung berkenaan terus dimanfaatkan, ia dapat meningkatkan sumber pendapatan serta mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk.
Bung Sadung Climbathon Trail Challenge 2023 merupakan acara tahunan dianjurkan oleh Majlis Daerah Serian dengan kerjasama JKKK Kampung Bunga.
Ia tersenarai sebagai acara di bawah Kalendar Pelancongan Negeri Sarawak 2023 dan penganjuran tahun ini berjaya menarik minat 375 peserta tempatan dan antarabangsa.
Acara larian melalui trek khas di kawasan Gunung Sadung itu menjadi produk ekopelancongan bagi penduduk Kampung Bunga dan dilihat mampu membantu Kaum Bidayuh yang tinggal di kawasan sekitar memulihara gunung warisan mereka.
Turut hadir, Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin, Pegawai Daerah Serian Lim Hock Meng dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damen Anak Rejek .-TVS