KUCHING, 27 Ogos: Juara dunia pertandingan biola (kategori klasik) Imran Azim Iskandar kini mengintai peluang untuk melanjutkan pengajian di sekolah muzik tersohor, Berklee College of Music di Amerika Syarikat.
Anak kelahiran Sibu, Sarawak itu berkata, dia sudah lama ‘mengidam’ untuk bergelar pelajar di situ dan mahu meneruskan perjuangan dalam bidang muzik.
Ketika ini pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Assek itu memberitahu, dia sedang mencari biasiswa untuk merealisasikan impiannya.
“Saya ingin menjadi seorang pengarah muzik dalam industri hiburan di Malaysia atau di luar negara atau mungkin seorang pensyarah muzik,” katanya ketika ditemui TVS, di Studio Nonakraf Creative, di sini, baru-baru ini.
Imran Azim sebelum ini mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada World Championship of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Anaheim, Amerika Syarikat.
Lebih membanggakan, pemuzik berusia 17 tahun itu turut meraih dua perak dan dua gangsa.
Menurut Imran Azim, ibunya, Suziah Johari, 49, dan bapanya, Iskandar Bujang, 62, merupakan pendorong terbesarnya sejak mula belajar bermain biola sehinggalah berjaya membawa lima pingat pada WCoPA.
Selain itu, Imran Azim juga tidak lupa jasa guru biolanya, Wong Ping Hang dan Syafiee Obe, keluarga terdekat, guru-guru di sekolah dan rakan-rakan yang sering memberi sokongan kepadanya.
Dia juga berharap kejayaannya di pentas dunia itu mampu menjadi pendorong kepada golongan muda terutamanya di Sarawak untuk berjaya.
“Ini bagi mereka yang berhasrat untuk bertanding di pentas antarabangsa.
“Walaupun saingan sangat hebat, namun tidak boleh berasa gentar kerana pastinya kita mampu melakukan yang terbaik,” ujarnya. -TVS