KUCHING, 26 Ogos:Polis memburu tiga lagi individu yang terlibat dalam kejadian pergaduhan bersenjatakan parang di Matang baru-baru ini.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata sebelum ini lapan lelaki tempatan termasuk seorang daripadanya dipercayai ketua samseng telah berjaya ditangkap.
“Setakat ni tangkapan ke atas suspek setakat ini berjumlah lapan orang lah. Dan kesemuanya adalah lelaki tempatan berusia lingkungan 21 tahun sehingga 51 tahun.
“Dan kita masih lagi mengesan untuk menangkap baki tiga orang lagi,” katanya semasa ditemui pemberita di Program Kepolisan Komuniti PDRM di Dewan Masyarakat Kampung Semeba di sini hari ini.
Tambahnya lagi, kesemua saspek yang ditangkap mempunyai sejarah penglibatan kegiatan dadah berdasarkan semakan rekod lampau.
“Tangkapan pertama ke atas suspek dilakukan memandangkan salah seorang individu adalah ketua samseng di kawasan Samariang dan Matang,” katanya lagi.
Dalam kejadian 21 ogos lalu sekitar jam 1 pagi, seorang lelaki telah cedera parah di bahagian badan dan kaki selepas dibelasah beramai-ramai dengan parang serta kayu hoki sebelum kesemua suspek melarikan diri.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan dan kini dalam keadaan stabil, namun masih di bawah pemantauan rapi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah menggunakan senjata, dan Seksyen 148 kerana melibatkan elemen rusuhan.-TVS