LIMBANG, 26 Ogos: Kotak perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lepas, sedang dihantar ke Amerika Syarikat bagi tujuan mendapatkan semula data rakaman tersebut.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata Malaysia sebelum ini telah menghantar CVR pesawat jenis Beechcraft Premier 1 itu ke Singapura namun tidak berjaya mendapatkan semula data daripada komponen ‘Memory Puck’ dalam CVR berkenaan.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan bahagian siasatan kemalangan udara di Kementerian Pengangkutan telah terbang ke Amerika Syarikat untuk mendapatkan bantuan pakar daripada negara berkenaan.
“Rakaman suara (CVR) sekarang ini sedang dalam perjalanannya ke Amerika Syarikat sebab hari itu telah dijumpai dan telah dihantar ke Singapura. Ia dalam keadaan agak rosak teruk.
“Mereka telah mencuba juga membantu kita untuk mengeluarkan data tapi tidak berjaya dan dibawa balik ke Malaysia.
“Semalam mereka daripada bahagian siasatan kemalangan udara di Kementerian Pengangkutan telah terbang ke Amerika Syarikat membawa CVR tersebut ke Amerika Syarikat untuk mendapat bantuan daripada negara itu,” katanya.
Hasbi berkata demikian ketika ditemui media bagi mengulas perkembangan terkini siasatan insiden pesawat terhempas terbabit selepas melawat lokasi warga emas, Sahari Mail yang hilang dikhuatiri di baham buaya di Kampung Ulak, pada Jumaat.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot dan Timbalannya, DSP Liong Tindan dan Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang, Ramlan Marajan.
Hasbi mendedahkan lagi pada masa ini rumusan menyeluruh berhubung punca nahas belum dapat dilakukan dan siasatan terperinci berhubung insiden terhempas itu masih dijalankan.
“Kita tunggulah sebab setakat ini kita tidak dapat untuk merumuskan apa-apa dan masih dalam siasatan lagi.
“Yang pastinya memanglah kalau menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dalam masa 30 hari kita kena buat laporan awal tentang apa yang ada, untuk membuat rumusan itu belum lagi dan akan diteruskan selanjutnya,” ujarnya.
Dalam insiden pada jam 2.50 petang 17 Ogos lepas 10 warga tempatan disahkan maut selepas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 terhempas di Bandar Elmina di Shah Alam.
Lapan yang maut adalah penumpang dan dua kru pesawat, manakala dua lagi adalah seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal yang melalui kawasan itu ketika pesawat terhempas.
Dalam tragedi itu, EXCO kerajaan Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu yang disahkan terkorban dalam nahas pesawat berkenaan. – TVS