KUCHING, 26 Ogos: Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) akan meneliti dari semasa ke semasa isu kekurangan papan tanda arah di sepanjang laluan jajaran Lebuhraya Pan Borneo, kata Datuk Jerip Susil.
Menurut Timbalan Menteri Penggankutan Sarawak itu ia bertujuan untuk memastikan pengguna jalan raya tidak keliru dengan keadaan jalan raya sehingga boleh membahayakan nyawa masing-masing.
Jerip menambah Majlis Keselamatan Jalan Raya akan menjalin kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang memerlukan tambahan papan tanda arah terbabit.
“Kita ingin melihat maklumat daripada orang ramai, kalau ada papan tanda yang belum mencukupi, bolehlah salurkan dan kita akan buat satu analisa mengenai perkara itu.
” Selepas itu kita akan buat lawatan tapak dan kalau terdapat keperluan kita akan tambahkan papan tanda tersebut,” katanya ketika ditemui selepas meerasmikan Jelajah Advokasi Keselamatan Lebuhraya Pan Borneo di sini pada Sabtu.
Ketika dimaklumkan mengenai isu tersebut khususnya di kawasan persimpangan berjejambat, Jerip berkata pihaknya akan meneliti perkara itu dan akan mempertimbangkan langkah penyelesaian isu terbabit.
Beliau dalam pada itu turut menasihati pengguna jalan raya untuk sentiasa berwaspada ketika menggunakan laluan di jajaran Lebuhraya Pan Borneo selain tidak melakukan pusingan haram di kawasan yang tidak disediakan laluan berkenaan.
Katanya, had kelajuan di lebuh raya tersebut berbeza dengan had kelajuan di Semenanjung Malaysia dengan had kelajuan maksimum ditetap untuk Lebuhraya Pan Borneo adalah 90 kilometer per Jam (KM/J).
Justeru tegasnya, adalah penting untuk setiap pengguna lebuh raya itu untuk mematuhi had yang ditetapkan bagi mengelakkan kejadian tidak dingini daripada berlaku. -TVS