SRI AMAN, 26 Ogos: Taman Negara Maludam dicadangkan sebagai lokasi penganjuran program ekspedisi, Maludam Explore Race akan datang.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar dan Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh meyakini taman negara yang bertapak dalam hutan paya gambut yang terbesar di Sarawak itu mempunyai keindahan alam semula jadi yang menarik.
“Saya sudah berbincang dengan pihak SFC di mana kita bercadang untuk menganjurkan program ekspidisi di Taman Negara Maludam ini.
“Ini kerana taman negara ini adalah hutan paya gambut yang terbesar di Sarawak dan mungkin di Malaysia. Ini sebagai satu naratif untuk kita menceritakan dalam menarik minat orang luar untuk datang.
“Bagaimanapun saya berpandangan taman ini perlu disediakan dengan kemudahan-kemudahan tertentu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Maludam Explore Race di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Len melihat program berkenaan akan menjadi acara sukan ntarabangsa pada masa hadapan kerana program itu adalah medium terbaik dalam mendidik masyarakat tentang pengembaraan yang mampan terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar dan penerokaan yang bertanggungjawab.
Program yang berlangsung sejak Jumaat hingga hari ini (26 Ogos) menghidangkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung.
Antaranya pameran agensi kerajaan yang menawarkan perkhidmatan kepada orang ramai, aktiviti sukan seperti perlawanan persahabatan tarik tali,Malam Kebudayaan, karaoke terbuka dan penampilan istimewa artis jemputan iaitu Poey Sting dan Shidi Data.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Abang Arabi Abang Aimran.