KUCHING, 26 Ogos: Rakyat diingatkan agar membudayakan amalan bekerja keras serta memiliki semangat daya saing yang tinggi sebagai usaha Sarawak mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata sikap positif berkenaan merupakan amalan penduduk di negara maju seperti Korea Selatan.
“Saya pernah bertanya mengapa mereka selalu bekerja keras? Mereka memberitahu saya, satu-satunya perkara yang mereka ada adalah sumber manusia dan tiada sumber semula jadi seperti kita.
“Sebab itulah kebelakangan ini, Korea Selatan semakin maju dari segi teknologi, termasuk teknologi perubatan dan begitu juga peningkatan dalam pasukan bola sepak negara mereka, ia adalah kerana hasil kerja keras semata-mata.
“Kita mahu semua orang faham bahawa kita perlu sentiasa berusaha untuk memperoleh pendapatan yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada kempen inspirasi Korea, Annyeong Ku-Chingu, anjuran pusat beli-belah The Spring, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Dr Sim, beliau turut berharap pihak dari Korea Selatan akan berkongsi langkah-langkah untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.
“Kita harus belajar daripada mereka (Korea Selatan) dan seperti yang dikatakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggin Tan Sri Abang Johari Tun Openg, kita mahu meningkatkan pendapatan isi rumah.
Bercakap mengenai kempen tersebut, Dr Sim menyifatkan kempen tersebut tepat pada masanya kerana kini Kuching mengalami peningkatan pelaburan daripada pelabur Korea.
Kempen Annyeong Ku-Chingu merupakan kempen yang meraikan kebudayaan Korea Selatan, berlangsung dari 25 Ogos hingga 1 Oktober depan. -TVS