KUCHING, 26 Ogos: Sejumlah 40 daripada 100 peserta dari pelbagai universiti menerima tawaran pekerjaan pada Program Petronas BeDigital Bootcamp di sini, pada Jumaat.
Menyaksikan angka itu Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee meyakini program dua minggu berkenaan iaitu bermula 14 hingga 25 Ogos lalu sebagai program yang cemerlang.
Menurut beliau dengan adanya program tersebut, sekali gus dapat mengurangkan kadar pengangguran di negara ini.
“Jadi menerusi penganjuran seperti ini ada dua perkara penting iaitu yang pertama ianya sudah pasti dapat mengurangkan jumlah pengangguran dan kedua untuk mengelakkan ‘brain drain’ di Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS selepas menghadiri Majlis Penutupan Petronas BeDigital Bootcamp, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Datuk Bacho Pilong dan Naib Canselor UNIMAS, Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Untuk rekod, Program Petronas BeDigital Bootcamp julung kali diadakan di Sarawak iaitu tiga edisi sebelum ini dianjurkan di Sabah.
Tahun ini, seramai seratus orang pelajar dari pelbagai universiti tempatan dipilih menyertai program edisi keempat ini.
Antara universiti yang terlibat termasuklah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Curtin dan lain-lain.
Sebelum ini, Ketua BeDigital Bootcamp, Nurul Wafa memaklumkan program Petronas BeDigital dianjurkan bagi menyokong aspirasi ekonomi digital negara termasuk memperkukuh literasi digital dalam kalangan graduan untuk memenuhi permintaan pasaran pekerjaan semasa.
Program tersebut katanya turut memberi tumpuan kepada golongan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah agar dapat menerima impak positif yang secara tidak langsung menaiktaraf modal insan masyarakat. – TVS