KUCHING, 24 Ogos: Dasar pendidikan negara akan ditambah baik bagi memenuhi keperluan semasa.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, ini termasuk tawaran yang akan diberikan kepada pelajar.
Beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga mencuba pelbagai kaedah yang membolehkan pelajar lebih cenderung untuk masuk ke universiti.
“(Ini kerana) kita berhadapan dengan isu pelajar tidak lagi begitu berminat untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat universiti.
“Ini mungkin disebabkan kesesuaian program atau kursus yang diambil serta pada masa sama, mereka mungkin mendapat peluang mendapatkan gaji yang lebih lumayan (berbanding menyambung pengajian),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Innovation Technology Exposition 2023 (Intex23) anjuran Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini hari ini.
Menyentuh mengenai jumlah kemasukan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke universiti yang semakin rendah, Mohammad Yusof berkata, KPT akan terus menyediakan peluang yang luas kepada pelajar.
“Mengikut kajian, memang terdapat ramai pelajar tidak meneruskan pengajian mereka selepas SPM dan antara puncanya kerana masalah kewangan, tetapi seperti yang kita selalu terangkan KPT menyediakan kemudahan pembiayaan,” tambahnya.
Antara bentuk bantuan berkenaan katanya termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
“Bantuan untuk program pengajian pertama juga disediakan supaya jangan menjadikan alasan tiada kemampuan kewangan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan mendedahkan sekitar 300,000 pelajar lepasan SPM tidak melanjutkan pelajaran setiap tahun dan berkemungkinan memilih bekerja dalam sektor kilang atau E-hailing.
Dalam pada itu, Naib Canselor UNIMAS, Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkata, kebolehpasaran graduan universiti berkenaan kini melebihi 90 peratus.
Katanya, antara perkara yang perlu diberi tumpuan selepas ini adalah memastikan graduan lepasan universiti menerima gaji permulaan yang setimpal.
“Apa yang kita panggil Premium Salary, itu yang penting.
“(Kita mahu) lepasan universiti mendapat gaji yang setimpal daripada majikan mereka,” ujarnya. – TVS