SIBU, 25 Ogos: Polis sedang mengesan waris seorang lelaki tanpa identiti yang ditemui terapung di Sungai Sebedil, Batang Igan di sini pada Khamis.
Mayat yang berada dalam keadaan tidak sempurna itu ditemui oleh orang awam sekitar jam 10.45 pagi semalam sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli suhaili, berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat itu pada jam 11.30 pagi.
“Siasatan awal mendapati, mayat berkenaan yang belum dikenal pasti ditemui terapung di Sungai Lusut Batang Igan Sibu berhampiran Rumah Gira, Sungai Sebedil dalam keadaan tanpa berbaju, berseluar pendek jenis jeans berwarna biru berdekatan tebing sungai,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, polis percaya si mati telah meninggal lebih daripada satu minggu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula mereput dan tidak sempurna.
“Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang pengenalan identiti ditemui. Mayat kemudian dibawa ke rumah mayat Hospital Sibu untuk tindakan lanjut” katanya
Zulkipli berkata, sehingga kini mayat itu belum dikenal pasti dan meminta sesiapa mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke balai polis berhampiran atau Balai Sungai Merah.
Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes Sarjan Suriya Wasli di talian 013-8855533.
Kes tersebut klasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). -TVS