KUCHING, 25 Ogos: Kejayaan jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, memecah rekod dunia di Dubai baru-baru ini diharap menjadi penyuntik semangat atlet yang lain, kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu.
Beliau juga mengakui acara berkenaan semakin popular sehubungan itu para atlet kelahiran negeri ini seharusnya mengambil peluang menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan.
“Seperti yang saya nyatakan sekarang powerlifting semakin popular dan dalam sukan Komanwel ia sudah pun masuk jadi harap-harap boleh pergi ke Olimpik satu hari nanti.
“Dan kami berharap lebih ramai atlet berlatih dalam acara itu. Saya rasa beberapa minggu lepas ada pertandingan powerlifting Sarawak di Aeon mall dan saya nampak semangat dan jenis peserta, atlet yang masuk sukan baru yang digemari orang kerana disiplin yang berbeza dari angkat berat,” katanya pada sidang media di sini pada Jumaat.
Terdahulu anak jati Serian, Bonnie telah memecah rekodnya sendiri apabila berjaya mengangkat bebanan 231 kg di Kejohanan Dunia Para Powerlifting 2023 sekali gus memperbaharui rekod dunia 230 kg pada tahun 2021.
“Kita ingin menzahirkan tahniah atas usaha Bonnie dan pencapaiannya memecah rekod di Dubai jadi kami semua gembira atas kejayaannya dan mahu berjumpa apabila beliau balik ke sini,” ujarnya. -TVS