OSLO, NORWAY, 25 Ogos: Kajian secara terperinci dan teliti akan dilaksanakan berhubung kaedah penyimpanan karbon agar bersesuaian dengan aspek geologi dasar laut perairan Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata terdapat persoalan tentang keberkesanan untuk menyuntik karbon ke dalam telaga minyak kosong atau membina telaga baharu.
“Namun, apa yang penting ialah dasar supaya kita dapat menggunakan kelebihan geologi kita (Sarawak) untuk menyimpan karbon. Perkara ini bukan mudah kerana persekitaran (yang sesuai) mesti ada, terutamanya pada struktur geologi tanah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada TVS pada Khamis sempena lawatan kerja dua hari ke Norway bersama delegasi Kerajaan Sarawak dan susulan pertemuan dengan syarikat-syarikat pengendali penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) negara tersebut.
Menurutnya, data dimiliki oleh syarikat-syarikat pelaksana penyimpanan karbon di Norway adalah mengikut aspek geologi Laut Utara.
Oleh itu, kerajaan Sarawak juga akan mengenal pasti teknologi semasa bagi menentukan lokasi simpanan karbon sebelum disuntik ke dalam telaga, iaitu sama ada di darat atau di luar pesisir.
“Mereka berada di Laut Utara, terdapat perbezaan dari segi paras air atau kedalaman air. Kita juga berada di pelantar benua dan kecerunan pelantar adalah cetek, maka mungkin ada pilihan lain.
“Saya juga menyebut tentang tongkang yang bawahnya rata. Mungkin boleh digunakan untuk menyimpan karbon, sebelum ia disuntik,” katanya.
Sementara itu, syarikat pengendali CCS yang telah dikunjungi di negara ini juga akan dijadikan sebagai pusat rujukan dan penanda aras dalam pembangunan sektor hijau di Sarawak.
Abang Johari berkata mereka memiliki data daripada pelbagai sumber untuk dimanfaatkan oleh kerajaan Sarawak.
“Mereka pada asasnya adalah pembekal penyelesaian. Itulah sebabnya kita ke sini dan boleh mendapat pelbagai input. Mungkin data yang kita ada tentang wilayah kita tidak dikemas kini.
“Kita akan kembali untuk berbincang dengan lebih lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga akan mengadakan perbincangan lanjut bersama pengurus sumber negeri iaitu Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) untuk menjalankan lebih banyak penyelidikan mengenainya.
Terdahulu, Abang Johari mengetuai delegasi Kerajaan Sarawak ke Norway dengan berkunjung ke fasiliti-fasiliti CCS seperti Northern Lights, Technology Centre Mongstad dan DNV.
Turut serta dalam lawatan berkenaan, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.– TVS