Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Choong Boon Wah dan Seng Chun Leong didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah yang dianggarkan seberat 413.826 kilogram, minggu lepas. Foto: Bernama

Dua lelaki didakwa edar dadah lebih 400kg, dianggar bernilai RM30.6 juta

ByBernama

IPOH, 25 Ogos: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan mengedar dadah lebih 400 kilogram (kg).

Mengikut semua pertuduhan, Choong Boon Wah dan Seng Chun Leong, kedua-duanya 44 tahun, didakwa secara bersama mengedar 413.826 kg dadah jenis Nimetazepam (Erimin 5) di dalam tiga bilik dan ruang tengah sebuah rumah di Jalan Sri Klebang 2, Bandar Baru Sri Klebang, Chemor dekat sini, pada 9.15 pagi 15 Ogos lepas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah jika tidak dihukum hukuman mati, dihukum dengan sebatan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Baru-baru ini, media melaporkan polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah susulan penahanan dua lelaki, dan rampasan dadah jenis Erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM30.6 juta, dalam satu serbuan di Klebang, Chemor dekat sini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Asyraaf Abu Bakar Hamzah. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria.

Majistret S. Punitha menetapkan 16 Nov untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memiliki dua laras senjata api tiruan berserta dua kelopak.

Choong dan Seng didakwa bersama-sama memiliki satu laras senjata api tiruan HK416 beserta satu kelopak dan satu laras senjata api tiruan HKMP5 beserta satu kelopak di lokasi dan tarikh yang sama pada 9.30 pagi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin manakala kedua-dua tertuduh diwakili Asyraaf.

Majistret Jesseca Daimis menetapkan 6 Okt untuk sebutan semula kes. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan