KUCHING, 25 Ogos: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menjelajah Sabah dan Sarawak menerusi ‘Kembara Kenali Borneo’.
Menurut laporan berita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), kembara berkenaan akan bermula pada 3 September di Tawau dan berakhir pada 13 September di Telok Melano.
UKAS yang memetik sumber dari Istana Negara berkata, pada 3 hingga 6 September, baginda berdua dijadual mengetuai kembara di Sabah sebelum meneruskan perjalanan ke Sarawak.
Kembara Kenali Borneo yang membabitkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer dijadual berada di Sarawak bermula 7 September.
“Kembara Seri Paduka Baginda akan melalui Lebuhraya Pan Borneo di kedua-dua negeri,” kata UKAS. – TVS