Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penasihat perubatan SOS Kids, Dr Chor Yek Kee pada sidang media Majlis Makan Malam Eat For A Purpose hari ini. Foto TVS.

SOS Kids perlukan RM200,000 bantu penjagaan pemulihan kanak-kanak

KUCHING, 24 Ogos: The Society for Critically Sick Children (SOS Kids) memerlukan RM120,000 setiap tahun untuk membantu kanak-kanak di bawah jagaannya yang sedang melalui proses pemulihan penyakit kritikal terutamanya berkaitan respiratori.

Bagi mendapat dana itu, SOS Kids akan menganjurkan Majlis Makan Malam Pengumpulan Dana bertemakan “Eat For A Purpose” pada 31 Ogos hingga 3 September depan di Restoran Ocho by Kyujin.

Menerusi acara itu, pertubuhan berkenaan menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM200,000 untuk kegunaan seramai 22 kanak-kanak.

Penasihat Perubatan SOS Kids, Dr. Chor Yek Kee berkata, kebanyakan kanak-kanak yang telah dibenarkan keluar daripada Unit Tawatan Rapi Pediatrik (PICU) masih memerlukan penjagaan rapi untuk pulih sepenuhnya.

Beliau yang juga Pakar Intensif Pediatrik Hospital Umum Sarawak berkata, kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun, memerlukan masa untuk pulih namun jika diberi rawatan yang baik, mereka boleh pulih sepenuhnya.

“Inilah kelebihan kanak-kanak namun penjagaan pemulihan itu perlu diberikan secara rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran majlis makan malam itu di sini hari ini.

Sementara itu, Dr. Chor berkata, sekiranya kanak – kanak yang dibenarkan keluar PICU kembali ke persekitaran yang tidak kondusif, mereka berisiko untuk dijangkiti semula dan peluang untuk sembuh adalah tipis.

Ketika ini katanya SOS Kids memberi bantuan berupa mesin pernafasan, bayaran bil elektrik dan sewa, bekalan nutrisi serta peralatan seperti kerusi roda, beg stoma dan tiub suapan kepada kanak – kanak dari keluarga B40.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Public Bank Berhad bernombor 3183778731 atau layari www.facebook.com/soskidskuchingsarawak.

Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, SOS Kids telah membantu lebih 499 kanak-kanak di seluruh Sarawak. -TVS

Berita Berkaitan

No data was found

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan

No data was found