IPOH, 24 Ogos: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai membuat ancaman bom di pusat beli-belah AEON Mall Klebang, Chemor pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ipoh (ACP) Yahaya Hassan berkata lelaki berumur 38 tahun itu telah ditahan pada 9.30 malam semalam di kawasan Tasek, di sini.
Menurutnya, polis telah menerima laporan daripada pihak pengurusan pasar raya kira-kira pukul 4.50 petang yang memaklumkan terdapat satu panggilan telefon daripada individu tidak dikenali mengenai ancaman bom di dalam premis itu.
Yahaya menambah pasukan Unit Pemusnah Bom, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia kemudiannya melakukan pemeriksaan menyeluruh di dalam bangunan berkenaan selama beberapa jam sebaik menerima laporan.
“Pemeriksaan kemudiannya mendapati tiada sebarang objek meragukan ditemui.
“Apabila keadaan disahkan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula ke dalam bangunan pada pukul 10.30 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar Yahaya lagi, pihak polis dalam masa sama berjaya menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di sebuah rumah di kawasan Tasek di sini kira-kira pukul 9.30 malam bagi siasata lanjut.
“Suspek dipercayai bertanggungjawab terhadap ancaman bom kepada pusat beli-belah tersebut berdasarkan pengakuan dan keterangan yang dikumpul.
“Siasatan turut dilakukan pada peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan palsu,” ujarnya.
Beliau memberitahu suspek dijangka direman hari ini bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suasana di pusat beli-belah itu gempar sebaik pihak mengurusan membuat pengumuman sambil meminta pengunjung dan pekerja mengosongkan bangunan tersebut segera petang semalam. – TVS