LIMBANG, 24 Ogos: Mangsa banjir dinasihatkan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sebagai langkah keselamatan sekali gus mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Paulus Palu Gumbang berkata, kerajaan menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyediakan pelbagai kemudahan dan bantuan makanan serta minuman termasuk sokongan psikologi kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS.
Beliau berkata, selain agensi kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) turut memainkan peranan penting semasa menghadapi banjir di kawasan masing-masing.
“Menerusi stimulasi ini, jabatan-jabatan, agensi dan juga pihak JKKK lebih mengetahui mengenai peranan dan tanggungjawab masing-masing.
”Apa yang kita inginkan ialah masyarakat yang dilanda banjir berpindah ke PPS kerana di PPS mereka akan diberi layanan makanan dan minuman yang mencukupi. Jika mereka kekal di rumah masing-masing, mungkin mereka akan terputus bekalan makanan,” katanya.
Paulus berkata demikian kepada pemberita selepas Program Latih Amal dan Stimulasi Pengurusan PPS dan Pangkalan Hadapan Bahagian Limbang Tahun 2023 di Dewan Medamit di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sulaiman Engal dan ketua jabatan kerajaan lain.
Menurut Paulus, Latih Amal dan Simulasi Pengurusan PPS mampu meningkatkan persediaan agensi penyelamat dan bantuan bencana, selain melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Saya percaya ini merupakan langkah yang baik untuk kita menghadapi bencana banjir yang mungkin tiba terutamanya musim tengkujuh pada hujung tahun.
“Ia tidak bermakna peranan dan tugas yang telah dilaksanakan semasa bencana banjir sebelum ini tidak memuaskan, sebenarnya ia merupakan satu langkah penambahbaikan,” katanya lagi. -TVS