MIRI, 24 Ogos: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak akan melancarkan Kajian Persediaan Menua Sarawak: Profil dan Isu Yang Dihadapi Warga Emas pada tahun depan.
Kajian itu kata menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah penting sebagai usaha mendepani isu penuaan di negeri ini.
KPWK jalankan kajian menyeluruh persediaan Sarawak menghadapi hari tua 2028
Ujar beliau, penyelidikan berkenaan akan dilakukan selepas Kajian Indeks Kesejahteraan Sosial Sarawak (SSWI) yang dilaksanakan tahun ini selesai.
“Kita perlu pastikan kajian ini meliputi seluruh Sarawak yang luas kerana memiliki 45 daerah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Wacana Bestari Isu Penuaan di Sarawak Siri 2/2023 di Miri pada hari ini.
Sementera itu, Fatimah memberitahu, tiga universiti terlibat dalam kajian berkenaan ialah Curtin University, Universiti Teknologi Sarawak dan Swinburne University of Technology Sarawak.
“Kita bekerjasama dengan tiga universiti berkenaan yang akan menjalankan kajian di zon selatan, zon tengah dan zon utara di Sarawak supaya mendapat input yang bagus dari seluruh Sarawak, tidak ada yang terpinggir,” katanya.
Menerusi data yang dikumpul kelak, Fatimah berkata, pihaknya boleh merangka pelan untuk berdepan isu penuaan di Sarawak dengan lebih yakin. -TVS