Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menerima cenderamata daripada Pengarah JHS, Datu Hamden Mohammad pada Majlis Perasmian Hari Integriti Jabatan Hutan Sarawak (JHS) 2023 di Hotel Imperial hari ini. Foto: TVS

Terap nilai inovasi dan integriti dalam setiap organisasi – Len Talif

MIRI, 23 Ogos: Setiap organisasi bukan sahaja perlu menerapkan nilai integriti kepada kakitangan mereka, tetapi juga inovasi dalam melakukan tugasan.

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, ini bagi memastikan tugas kakitangan kekal relevan dan tidak jumud supaya mereka terus bergerak ke hadapan.

“Kita perlu menjadi lebih inovatif dalam cara menerap nilai dalam semua kakitangan supaya terus bergerak. Kalau kita lihat daripada segi perniagaan, banyak syarikat yang lingkup kerana banyak tidak bertukar cara bekerja,” katanya di Majlis Perasmian Hari Integriti Jabatan Hutan Sarawak (JHS) 2023 di Hotel Imperial hari ini.

Tambahnya, mereka perlu mencari cara baharu apabila melakukan sesuatu tugasan selari dengan perkembangan dunia yang kini bergerak pantas.

“Jadi kita perlu melakukan sesuatu, sebahagian daripadanya adalah untuk menerap nilai dan budaya integriti, adil dan saksama. Pada masa yang sama, kita perlu mencari cara baharu bagi mewujudkan inovasi dalam melakukan sesuatu, bukan hanya bekerja seperti biasa kerana dunia bergerak pantas,” ujarnya lagi.

Program ini dijalankan bagi memupuk kesedaran dalam kalangan warga JHS mengenai kepentingan nilai-nilai murni dan integriti selain memberi penerangan kepentingan unit integriti sebagai unit yang menangani isu salah laku berkaitan integriti dalam organisasi.

JHS juga kini ke arah persijilan MS ISO 37001:2016 iaitu Sistem Pengurusan Antirasuah untuk membanteras gejala rasuah sejajar dalam usaha pemantapan governan, integriti dan rasuah dalam jabatan. -TVS

 

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan