STOCKHOLM 23 Ogos: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk mencontohi kaedah pengurusan Sisa Buangan Kepada Tenaga (WTE) negara Sweden, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, Sweden terbukti berjaya menjana tenaga daripada sisa pepejal berbanding negara-negara Eropah lain menerusi dasar pengurusan sisa pepejal yang cekap.
Menerusi kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari menyifatkan inisiatif seumpamanya amat signifikan dalam usaha mencari penyelesaian sistem pelupusan sampah buangan yang lebih mampan di Sarawak.
“Perlu diingatkan Sarawak merupakan negeri yang terbesar di Malaysia dan memiliki pelbagai sumber tenaga yang boleh diperbaharui dengan populasi rakyat kira-kira 2.3 juta orang.
“Justeru, bagi memastikan kesejahteraan rakyat pada masa depan, sekarang merupakan masa sesuai bagi kerajaan negeri mengambil langkah dengan memantapkan lagi sistem pengurusan pepejal dengan menjana tenaga baharu menerusi WTE,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian semasa mengetuai rombongan kerajaan Sarawak ke Agensi Tenaga Sweden (SEA) pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, Premier Sarawak juga tertarik dengan sistem grid elektrik rentas sempadan di Sweden yang mengeksport tenaga ke negara-negara jiran seperti Denmark, Norway, Finland, Jerman, Lithuania dan Poland.
Malah jelas Abang Johari, Sarawak juga memiliki potensi keupayaan yang sama dengan Sweden, mengeksport tenaga elektrik ke negara jiran seperti ke Kalimatan, Indonesia.
Terdahulu Premier Sarawak dan rombongan telah diberi taklimat oleh Paul Westin daripada Agensi Tenaga Sweden.
Sejurus selepas taklimat tersebut, Abang Johari kemudian melakukan kunjungan hormat terhadap Menteri Perdagangan dan Pembangunan Sweden, Johan Forssell.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Duta Besar Malaysia ke Sweden, Hafizah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni, Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar dan beberapa pegawai Kerajaan Sarawak. – TVS