KUCHING, 23 Ogos: Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar dijangka menyempurnakan Majlis Perhimpunan Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2023 di Mukah pada 31 Ogos ini.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Pemangku Yang di-Pertua Negeri di Astana Negeri Sarawak, hari ini.
“Pemangku Yang di-Pertua Negeri Sarawak akan diiringi isteri Puan Sri Dato Fatimah Mohd Iskandar dijangka tiba pada jam 11 pagi.
“Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang juga akan hadir pada majlis berkenaan,” katanya ketika ditemui  TVS, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Fatimah memberitahu pelbagai acara telah dirangka sempena sambutan tersebut bermula dari 30 Ogos 2023.
“Insya-Allah apa yang telah dirancang itu berjalan dengan lancar,” ujarnya.
Antara perincian acara ketika Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2023 pada 30 Ogos adalah Ambang Merdeka bermula pada jam 8 malam, manakala, pada 31 Ogos acara Unity Ride & Walk pada jam 7 pagi, Majlis Perhimpunan (11 pagi) dan Sesi Tekad Perpaduan Penuhi Harapan jam 2 petang. – TVS