KUCHING, 23 Ogos: Koperasi untuk masyarakat India yang pertama di Sarawak ditubuhkan bagi membantu komuniti berkenaan menjana ekonomi mereka.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Saraswathy Kandasami berkata, kelulusan berkenaan juga membuktikan suara kaum India di sini tidak dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Saraswathy berkata, beliau percaya koperasi berkenaan akan mewujudkan sikap saling membantu dalam kalangan masyarakat India.
“Menerusi penubuhan koperasi ini (kerajaan juga berharap ia akan) mampu berdaya saing pada masa depan seiring dengan koperasi lain di seluruh negara yang seterusanya akan memberikan sumbangan terbaik kepada gerakan koperasi secara keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Perasmian Progam Taklimat GP23: Garis Panduan Pelaporan Penyata Kewangan Koperasi (Pindaan 2020) Bagi Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Sementara itu, Saraswathy berkata, beberapa permintaan yang disuarakan masyarakat India di Sarawak kepada beliau sebelum ini telah di bawa ke peringkat persekutuan.
“KUSKOP juga telah mengatur forum nasional bagi mencari penyelesaian yang lebih konkrit untuk memartabatkan ekonomi rakyat Sarawak dan pada masa sama dapat berinteraksi dengan wakil dari Semenanjung Malaysia,” katanya.
Pada masa harapan, beliau berkata, agensi di bawah KUSKOP yang terlibat secara langsung dalam gerakan koperasi iaitu Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Institut Koperasi Malaysia (IKMA) akan sentiasa komited memastikan setiap koperasi mematuhi perundangan. -TVS