SUBANG, 23 Ogos: Kerajaan negeri Sarawak hari ini mengadakan lawatan ke ibu pejabat Industri Aeroangkasa dan Pertahanan Nasional (NADI), di sini, sebagai antara langkah permulaan untuk memahami lebih dekat mengenai industri penerbangan.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, yang mengetuai delegasi, berkata ini terutama dari segi Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO).
Delegasi yang disertai Timbalan Menteri Pengangkutan negeri, Datuk Dr Jerip Susil, Penasihat Teknikal, Sio Yew Hua dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Bahagian Sarawak, Laster Anak Matthew turut melawat fasiliti dan hangar AIROD Sdn Bhd, anak syarikat NADI yang berpengkalan di ibu pejabat sama.
“Bukan sahaja AIROD, kita juga turut mengadakan lawatan ke pusat MRO lain antaranya Asia Digital Engineering (ADE) dan MAB Engineering Services (MABES) , pasukan kita datang buat lawatan untuk memahami dengan lebih lanjut perkhidmatan yang disediakan mereka,” katanya kepada Bernama.
April lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju secara prinsip dengan cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan butik.
Terdahulu para delegasi diberikan taklimat lebih satu jam oleh Penasihat Kanan Kumpulan NADI, Tan Sri Ahmad Johan. -TVS